Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Komuniti MADANI Datuk Robert Lau Hoi Chew Serah Sumbangan Kepada Warga Emas dan Kurang Berkemampuan

By 5 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Liputan/ foto : Dorothy Tuyoi/ Yii Mei Hong (Sarawak)

SIBU, 5 Sep (MalaysiaAktif) – Komuniti MADANI Datuk Robert Lau Hoi Chew Bahagian Biro Kebajikan diketuai Lily Chew hari ini menyerahkan sumbangan bakul makanan dan wang tunai kepada lima isi rumah di kawasan Sungai Sadit, Bawang Assan.

Program ini merupakan inisiatif Komuniti MADANI Datuk Robert Lau Hoi Chew bagi membantu beberapa keluarga kurang berkemampuan melibatkan mereka yang tinggal bersendirian, menderita sakit tua dan seorang budak kurang upaya.

Sumbangan kepada Sii Chai Ing (empat kanan) yang tinggal bersama anak perempuan kurang upaya.

“Ini merupakan antara aktiviti tahunan Komuniti MADANI Datuk Robert Lau Hoi Chew dan kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban golongan warga emas dan kurang berkemampuan di kawasan Sungai Sadit,” Lily berkata demikian ketika ditemui.

Ahli Majlis Luar Bandar Sibu Kaunselor Kevin Lau Kor Jie yang turut menyertai program tersebut bersama ahli Komuniti MADANI Datuk Robert Lau Hoi Chew memulakan kunjungan kepada Wong Lan Hua yang tinggal seorang diri dan bergantung pada kerusi roda untuk bergerak.

Seterusnya rombongan tersebut mengunjungi Ling Mee Tiong yang menjaga suami beliau, seorang pesakit strok sejak dua tahun lalu dan juga menjaga cucu kurang upaya berumur 12 tahun, sebelum ke rumah Ibrahim Abdullah, seorang warga emas yang tinggal bersendirian.

Lily menyampaikan sumbangan kepada Ibrahim Abdullah yang tinggal bersendirian.

Kunjungan diteruskan lagi ke dua buah rumah iaitu rumah Sii Chai Ing penjaga kepada seorang anak perempuan kurang upaya dan penerima terakhir sumbangan iaitu Ting Check Ping, warga emas yang juga tinggal bersendirian.

Sebelum mengadakan kunjungan tersebut, ahli Komuniti MADANI Datuk Robert Lau Hoi Chew turut menyertai gotong royong membersihkan kawasan Sungai Sadit yang dianjurkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Sadit.

 

-RJ-

Tinggalkan komen anda