
Laporan/foto: Memi Yusoff/Ariff Ishak
SHAH ALAM, 23 Sep (MalaysiaAktif) – Galeri Shah Alam sekali lagi menjadi pentas utama meraikan kreativiti dan ilham pendidikan menerusi Pameran Alam dan Guru 2025 (PAG 2025).
Dengan tema ‘Nyala Rasa Inspirasi Alam’, pameran dwitahunan bermula semalam hingga hari ini menampilkan 64 pendidik seni visual dari pelbagai institusi termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Pengunjung yang hadir ke Galeri Shah Alam sempena pembukaan hari pertama Pameran Alam dan Guru 2025.
Menurut Ketua Kurator Yayasan Seni Selangor, Galeri Shah Alam Muhd Minsya Baharudin, pameran berkenaan bukan sekadar mempamerkan karya seni tetapi juga menggambarkan hubungan mendalam antara alam dan insan pendidik.
“Guru diibaratkan seperti alam sentiasa memberi dan membimbing dengan kebijaksanaan.
“PAG 2025 menzahirkan rasa hormat dan penghargaan terhadap peranan guru dalam membentuk nilai dan kesedaran melalui ekspresi seni yang mengilhamkan,” katanya ketika ditemui di Galeri Shah Alam, di sini semalam.

Antara lukisan yang dipamerkan sempena Pameran Alam dan Guru 2025 yang menggambarkan hubungan mendalam antara alam dan insan pendidik.
Pameran tersebut hasil kerjasama strategik antara Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK), Yayasan Seni Selangor, Galeri Shah Alam dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Lebih menarik, ia turut berfungsi sebagai platform latihan profesional kepada pelajar yang terlibat secara langsung dalam aspek pengurusan seni, keusahawanan dan pembangunan budaya kerja kreatif yang lestari.
“PAG 2025 bukan sahaja mengetengahkan hasil seni berkualiti tinggi tetapi juga menjadi pemangkin kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar serta memperkukuh peranan seni sebagai medium pendidikan dan penyatuan masyarakat,” katanya.
-RI





