
Laporan/foto: Nazri Ramshah Abdul Basah/Elyana Sazwin Magbanua/ Elyana Sazlin Magbanua (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 22 Sep (MalaysiaAktif) – Demi mengembangkan bakat dan identiti sebagai pelukis mural tempatan, pasangan kembar Elyana Sazwin dan Elyana Sazlin Magbanua, 28, berani menyahut pelbagai cabaran untuk menghasilkan karya seni yang mengagumkan.
Bermula di bangku sekolah, cita-cita sebagai pengkarya seni itu kini bertukar kepada sebuah kerjaya di bawah syarikat Le’Sibs Art yang menawarkan kepakaran dan perkhidmatan bagi memenuhi permintaan seni mural di Sabah.
Bagi Elyana Sazlin, sebagai seorang pelukis mural wanita, kerjaya seni itu juga mempunyai cabarannya tertentu selain memerlukan kekuatan mental serta fizikal yang tinggi untuk terus fokus dalam berkarya.

Pasangan kembar, Elyana Sazwin Magbanua (depan) dan Elyana Sazlin Magbanua, pemilik Le’Sibs Art.
“Antara cabaran ialah ketika menyertai Program I-Komuniti Lestari pada 2024 bersama Majlis Daerah Kuala Penyu, memandangkan ukurannya lebih kurang 30 kaki yang bersamaan menggunakan lima tingkat scaffolding tingginya dan kami mengambil masa lebih seminggu untuk menyiapkannya.
“Selain itu faktor cuaca yang tidak menentu memberi kami cabaran yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal. Memandangkan ini merupakan program komuniti di Kuala Penyu, mereka juga banyak membantu kami memastikan lukisan mural dapat disiapkan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Tambah graduan Teknologi Seni Visual Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu lagi, mereka menyimpan impian untuk mengembangkan perniagaan itu ke luar negeri Sabah di samping memberi inspirasi kepada golongan belia.
“Kami berharap dapat memberikan inspirasi dan semangat kepada belia untuk sentiasa menggunakan bakat dan hobi yang diminati sebaiknya manatau kebolehan yang dianugerahkan menjadi sumber pendapatan di masa depan,” jelasnya.

Projek Le’Sibs Art menceriakan sebuah taman rekreasi di Daerah Kuala Penyu.
Sementara itu, menurut Elyana Sazwin, maklum balas positif daripada rakan-rakan dan masyarakat menjadi pembakar semangat untuk mereka terus berkecimpung dalam industri tersebut.
“Dari dulu kami memang sangat minat dengan bidang lukisan dari sekolah dan disebabkan itu kami meneruskan pengajian di universiti dalam bidang yang dapat mengembangkan lagi bakat kami.
“Pada awalnya ramai juga melihat kami seakan-akan tidak mampu melakukan kerja ini namun kami berjaya buktikan tanggapan itu tidak benar,” ujarnya.

Elyana Sazwin dan Elyana Sazlin merakam momen indah bersama mural di Grace Point, Kota Kinabalu.
Adik-beradik yang menetap di Kinarut, Papar ini pernah meraih tempat ketiga Anugerah Syarikat Pemula Graduan Terbaik pada tahun 2024.
Di samping terlibat dalam beberapa projek mural di institusi pendidikan antaranya di Sekolah Kebangsaan (SK) Tamparuli, SK Pangalat Besar, Sekolah Menengah Kebangsaan Kinarut dan UMS, mereka kini terlibat dalam projek baharu sebuah taman rekreasi di Kuala Penyu yang dijangka mengambil masa lebih seminggu untuk disiapkan.
-RJ-





