Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Program JIWA@KELAB MALAYSIAKU: Kempen Internet Selamat bersama Ahli Kelab Malaysiaku SMK Matu

By 3 September 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Siti Afiqah Morshidi (SARAWAK)

MATU, 3 Sep (MalaysiaAktif) – Program kesedaran digital bertemakan Kempen Internet Selamat anjuran Pejabat Penerangan Daerah Matu dan Kelab Malaysiaku SMK Matu telah dilaksanakan di sini, semalam.

Seramai 100 pelajar terdiri daripada ahli Kelab Malaysiaku dan pelajar lain dari pelbagai tingkatan terlibat dengan program ini yang ini selari dengan objektif Kelab Malaysiaku memperkasakan golongan tersebut menjadi warganegara digital yang bertanggungjawab dan kesedaran awal mengenai kepentingan keselamatan siber serta etika dalam penggunaan internet.

Pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang program antaranya ceramah interaktif keselamatan internet, sesi perkongsian kes jenayah siber oleh NADI dan kuiz spontan oleh pelajar bertemakan Internet Selamat.

Pelajar juga didedahkan kepada isu-isu seperti buli siber, penipuan dalam talian, penyalahgunaan media sosial dan cara melindungi maklumat peribadi.

Pelajar SMK Matu tekun mendengar ceramah mengenai keselamatan internet yang disampaikan sempena Program JIWA@Kelab Malaysiaku, semalam.

Menurut Pegawai Penerangan Daerah Matu Nurhayati Abdul Halim, penekanan pendidikan keselamatan digital perlu bermula seawal usia remaja dan sebaiknya di peringkat sekolah.

“Pendedahan seperti ini amat penting untuk diadakan, bukan hanya kepada ahli Kelab Malaysiaku semata-mata, tetapi kepada seluruh warga pelajar kerana mereka perlu tahu dan faham, jelas apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam talian demi keselamatan diri sendiri,” katanya.

Beliau turut menyifatkan program ini sebagai medan terbaik untuk mendidik pelajar mengenai tanggungjawab mereka di alam digital, sejajar dengan usaha menjadikan sekolah sebagai komuniti celik teknologi.

Sementara itu, Pengurus NADI Kampung Tian Abdul Mubin Fahmi Ismail, positif bahawa program sebegini merupakan platform untuk berkongsi banyak ilmu baharu mengenai keselamatan penggunaan internet kepada pelajar.

“Pelajar perlu lebih peka terhadap risiko berkongsi maklumat peribadi secara terbuka di internet dan mereka harus sedar bahawa setiap tindakan yang dilakukan di alam maya membawa kesan yang nyata dalam kehidupan sebenar,” ujarnya ketika menyampaikan ceramah Kesedaran Keselamatan Internet.

Penganjuran program sebegini membuktikan bahawa kerjasama antara agensi luar dan Kelab Malaysiaku mampu membentuk pelajar yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga beretika, berhemah dan bertanggungjawab dalam penggunaan internet.

-RJ-

Tinggalkan komen anda