
Laporan/foto: Nik Awang (Setiu)
SETIU, 23 Sep (MalaysiaAktif) – Semangat patriotik dan cinta Rasulullah SAW dizahirkan 70 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Fikri, Sungai Tong, di sini menerusi perarakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Maulidur Rasul, kelmari.

Guru Besar Mohd Naim (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Pejabat Penerangan Daerah Setiu.
Perarakan disertai murid, guru serta penduduk setempat bermula dari perkarangan sekolah dan berakhir di Masjid Sungai Tong dengan laungan selawat serta kibaran Jalur Gemilang.
Usai perarakan, warga SK Fikri bersama masyarakat setempat mengadakan aktiviti gotong-royong di masjid yang bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, malah memupuk nilai kerjasama dan semangat kebersamaan dalam kalangan murid.

Murid SK Fikri ceria mengayuh basikal sambil mengibarkan Jalur Gemilang dalam perarakan sejauh 1.5 kilometer sempena sambutan Merdeka dan Maulidur Rasul.
“Penganjuran program sebegini mampu mendidik generasi muda agar sentiasa berdisiplin, bersatu padu dan mencintai tanah air,” kata Guru Besar Mohd Naim Dahlan.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Kilang Sawit Kampung Bukit Nenas Azhar Ali, menyifatkan perarakan sejauh 1.5 kilometer itu memberi pengalaman bermakna kepada murid kerana dapat bersama guru dan ibu bapa memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2025.
-RI





