
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Bashsyar Abdullah (Kedah)
ALOR SETAR, 1 Sep (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 peringkat Negeri Kedah tahun 2025 berlangsung penuh gilang-gemilang menerusi Istiadat Perbarisan dan Perarakan oleh 119 kontinjen daripada pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, badan beruniform serta pertubuhan bukan kerajaan.

Sultan Negeri Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah turut meraikan Istiadat Perbarisan dan Perarakan.
Perbarisan turut dimeriahkan dengan persembahan pancaragam pengiring gabungan Batalion Kedua dan Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang dipimpin oleh Drum Major PW 2 Zulkarnain Hashim, sekali gus menaikkan semangat patriotik dalam kalangan ribuan pengunjung.
Acara kemuncak sambutan adalah terbang lintas hormat melibatkan aset udara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu dua buah pesawat EC 120B dari INSPEN 2 serta lima buah pesawat PC-7 MkII dari INSPEN 1 yang memukau orang ramai.
Turut menarik perhatian adalah pameran aset ketenteraan yang diadakan di Dataran Medan Bandar, antaranya dua buah kenderaan berperisai amfibia GEMPITA keluaran DEFTECH dari 19 RAMD Mekanize serta tiga buah kenderaan jenis B terdiri daripada GK MK II, Kenderaan Pembawa Senjata (KPS) dan Kenderaan Pembawa Mortar (KPM).
Sorakan gemuruh hadirin turut mengiringi aksi terjunan bebas oleh Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang melibatkan empat penerjun dari ketinggian 4,000 kaki menggunakan Pesawat Fennec Skuadron 502.
Penerjun membawa empat bendera iaitu Jalur Gemilang, bendera negeir Kedah, bendera TLDM dan bendera PASKAL, dengan kepakaran juruterbang Lt Kdr Mohd Asyraff Ibrahim TLDM serta pembantunya Lt Mohamad Taufik Mokhtar TLDM.

Para pengunjung membanjiri Dataran Medan Bandar.
Bagi pengunjung, pengalaman menyaksikan acara tersebut meninggalkan kenangan manis.
Wan Sariati Wan Salim, 41, berkata sambutan kali ini sangat istimewa dan membangkitkan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia.
“Saya teruja melihat keberanian pasukan penerjun PASKAL serta kehebatan aset ketenteraan negara kita dipamerkan. Acara ini benar-benar menyemarakkan semangat patriotisme dalam diri saya dan anak-anak,” katanya ketika ditemui di lokasi perarakan, semalam.
Sambutan kali ini berjaya menarik kehadiran lebih 40 ribu pengunjung yang membanjiri Dataran Medan Bandar sejak awal semalam sekali gus menjadikan suasana penuh meriah dan berwarna-warni.
-RI





