
Laporan/ foto : Randy Achang William/ Rozaini Salim (Sarawak)
LIMBANG, 29 Sep (MalaysiaAktif) – Ramai mungkin belum pernah mendengar istilah Taing Kadang yang bermaksud jamuan panjang yang bukan sekadar acara jamuan tetapi satu tradisi cukup bermakna dalam masyarakat Lun Bawang di kawasan utara Sarawak khususnya di Lawas dan Limbang.
Kebiasaannya, Taing Kadang diadakan semasa keramaian seperti perkahwinan, majlis kesyukuran, mahupun pesta besar seperti Pesta Nuba Laya yang berlangsung baru-baru ini dan apa yang menjadikannya istimewa ialah jamuan ini melambangkan kegembiraan tuan rumah untuk berkongsi rezeki dengan orang ramai secara percuma.
Hidangan utama yang tidak pernah ketinggalan dalam Taing Kadang ialah Nuba Laya, nasi yang dibungkus dengan sejenis daun yang dikenali sebagai daun Nyirik dan aromanya amat istimewa, wangi dengan sentuhan alam, jauh berbeza daripada nasi biasa dan begitu juga cara memasaknya yang memerlukan kepakaran agar tidak menjadi seperti bubur.

Taing Kadang yang sudah siap disusun, menunggu untuk jamuan bermula dan kaum wanita bersedia untuk menghidangkan kepada orang ramai.
Walaupun boleh menggunakan apa sahaja jenis beras namun untuk lebih enak, beras yang digunakan adalah Beras Adan yang didapati dari dataran tinggi Ba’ Kelalan, Lawas dan biasanya dihidangkan bersama lauk tradisional seperti pucuk ubi, pakis, pelbagai pucuk hijau, rebung, daging dan ikan.
Uniknya, dewasa ini Nuba Laya bukan sahaja eksklusif di atas meja makan masyarakat Lun Bawang malah dinikmati oleh pelbagai kaum, bahkan menjadi menu utama restoran dan gerai makan di Limbang.
“Penyediaan Taing Kadang bukanlah kerja seorang dua orang sebaliknya ia memerlukan ramai orang dengan pelbagai peranan yang dimainkan iaitu ada yang menanak nasi, menyediakan lauk dan membungkus Nuba Laya dengan daun Nyirik,” kata Helen Hitong, 60 ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya lagi, ketika penganjuran Pesta Nuba Laya sebelum ini, sebanyak 1000 bungkus Nuba Laya telah disediakan sehingga orang ramai duduk berderet berpanjangan, bergurau senda sambil menikmati makanan tradisional tersebut bagaikan dalam suasana satu keluarga besar yang berkumpul di meja panjang.
“Jika dibandingkan dengan suasana dahulu, jamuan ini dihidangkan atas tikar mengkuang yang dibentang atas lantai di ruang legar rumah panjang membolehkan orang ramai duduk bersila menikmati jamuan yang disediakan,” jelas Helen lagi.

Helen Hitong (kanan) sedang mengatur susunan Taing Kadang.
Berbalik kepada daun Nyirik, ia dikenali sebagai Phacelophrynium Maximum dalam bahasa saintifik dan daripada keluarga Marantaceae yang banyak ditemui di kawasan lembap dan teduh, kebiasaannya di hutan tropika berhampiran sungai.
Daunnya lebar, kuat dan lentur, menjadikannya pembungkus makanan semula jadi yang sangat sesuai terutamanya untuk nasi Nuba Laya.
Menurut Penslyviana Mami, 38, walaupun daun nyirik masih boleh ditemui di hutan, kelestariannya tetap penting untuk dijaga kerana pembukaan tanah dan pembangunan boleh menjejaskan kelangsungan tumbuhan ini.

Penslyviana Mami menunjukkan daun Nyirik yang baru ditanamnya agar mudah diambil untuk membungkus Nuba Laya ketika diperlukan pada masa hadapan.
“Ada baiknya usaha penanaman semula dilakukan agar generasi akan datang masih dapat merasai pengalaman unik membungkus dan menikmati makanan dengan daun semula jadi ini.
“Daun nyirik bukan sahaja sebahagian daripada biodiversiti tempatan tetapi juga sebahagian daripada identiti budaya dan menjaganya bermakna kita juga menjaga warisan tradisi,” katanya lagi.
Bagi Rebecca Rudang Paul, 32, pula tradisi Taing Kadang wajar terus diwarisi supaya generasi muda kenal budaya sendiri apatah lagi sesuatu budaya itu berperanan mengeratkan perpaduan.

Rebecca Rudang Paul (tengah) dan yang lain bersama Nuba Laya dan lauk untuk Taing Kadang.
“Dalam dunia moden yang penuh dengan teknologi dan kesibukan, terdapat nilai kekeluargaan yang semakin pudar namun dengan adanya Taing Kadang, kita kembali diingatkan bahawa makan bersama bukan sekadar mengenyangkan perut malah ia mengikat kasih kekeluargaan, memperkukuh semangat kebersamaan dan mengekalkan warisan nenek moyang kita,” ujarnya.
Kesimpulannya, Taing Kadang bukan sekadar jamuan teapi warisan, identiti dan tanda kasih masyarakat Lun Bawang yang harus dijaga dan diwarisi dari generasi ke generasi.
-RJ-





