Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

12 Tukun Dasar Lembut Dilabuh di Pulau Telor

By 15 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norhayani Hashim/Fauziah Abdul Wahab (Yan)

YAN, 15 Okt (MalaysiaAktif) – Sebanyak 12 unit tukun dasar lembut penghalang pukat tunda dilabuhkan di perairan Pulau Telor, semalam oleh Jabatan Perikanan (DOF) dalam usaha berterusan memulihara sumber marin serta meningkatkan hasil tangkapan nelayan pesisir pantai.

Projek bernilai RM379,080.00 itu dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

Menurut Pengarah Pejabat Perikanan Negeri Kedah, Sukri Deris pelabuhan tukun tiruan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif konservasi marin yang dilaksanakan DOF sejak tahun 1975.

Semangat kerjasama jelas terpancar dalam kalangan peserta Program Melabuhkan Tukun Tiruan Dasar Lembut Penghalang Pukat Tunda.

“Tukun tiruan ini berfungsi sebagai habitat baharu bagi pelbagai spesies ikan komersial seperti kerapu, merah, jenahak dan pari. Keberkesanannya bergantung pada penjagaan serta kawalan aktiviti penangkapan ikan di sekitarnya agar ekosistem marin dapat terus berkembang,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau menjelaskan bahawa tukun tiruan pada peringkat awal dahulu dibina menggunakan tayar terbuang sebelum reka bentuk dan bahan binaannya dipertingkatkan bagi memastikan ketahanan serta keberkesanan dalam menarik spesies ikan bernilai tinggi.

Dengan pelabuhan terbaharu ini, jumlah keseluruhan tukun tiruan yang telah dilabuhkan di perairan Kedah kini mencecah 570 unit, melibatkan kos keseluruhan RM10.5 juta.

Usaha berterusan itu dijangka memberi kesan limpahan positif kepada komuniti nelayan melalui peningkatan hasil tangkapan, seterusnya memperkukuh ekonomi pesisir negeri.

Sukri turut menyeru agar semua pihak memainkan peranan dalam memastikan kawasan tukun kekal terpelihara supaya struktur tersebut dapat menjadi matang dan ditumbuhi hidupan marin secara semula jadi.

“Apabila tukun matang, ia akan menjadi habitat semula jadi baharu yang menarik lebih banyak spesies ikan bernilai tinggi,” katanya.

Beliau berkata DOF turut mengalu-alukan penyertaan badan korporat dan agensi luar untuk bersama-sama melaksanakan program konservasi dan pemuliharaan sumber marin dengan pihaknya juga sedia memberi khidmat nasihat serta pandangan teknikal berdasarkan kepakaran dan kajian lapangan yang telah dijalankan.

Pelaksanaan projek tukun dasar lembut di Pulau Telor menjadi bukti komitmen kerajaan dalam memperkukuh kelestarian ekosistem marin serta meningkatkan sosioekonomi nelayan tempatan, selaras dengan matlamat pembangunan lestari demi manfaat generasi akan datang.

-RI

Tinggalkan komen anda