
Laporan/foto: Abdul Hadi Abdul Ghani/Mohd Yusuf Muda Dalam Asis/Asrul Affandi Saflie@Awang Safre (Semporna)
SEMPORNA, 2 Okt (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan subsidi bersasar Budi MADANI RON95 (BUDI95) disifatkan sebagai langkah proakif kerajaan untuk memastikan bantuan sampai kepada rakyat yang layak dengan menggunakan sistem digital.
Bagaimanapun, stesen minyak yang terletak di kawasan pedalaman berdepan cabaran rangkaian internet untuk memastikan urusan pengesahan kelayakan dan sistem pembayaran atas talian dapat dilakukan tanpa sebarang masalah.
Wakil Ketua Negeri daerah Semporna, Pulau Ralawan, 65, berkata cabaran untuk memastikan jaringan internet di setiap stesen minyak di kawasan pedalaman dalam keadaan yang stabil perlu diatasi bagi melancarkan urusan semua pihak.

Pulau ketika ditemui berkongsi pandangan mengenai cabaran pelaksanaan subsidi Budi Madani RON95.
“Saya berpandangan cabaran terbesar ialah memastikan semua stesen minyak, termasuk di pedalaman, mempunyai rangkaian internet stabil untuk mengesahkan MyKad di pam minyak.
“Pada masa sama, penting memastikan kesesakan di stesen minyak dapat diatasi kerana proses pengesahan mungkin mengambil masa. Sistem ini perlu pantas, lancar dan mudah untuk elakkan kekecohan,” katanya ketika ditemui di sebuah stesen minyak Petronas, di sini kelmarin.
Sementara itu, pekerja pelancongan, Jonny Hassan, 48, percaya langkah kerajaan untuk melaksanakan program subsidi ini secara digital menggalakkan masyarakat untuk meningkatkan penggunaan teknologi dalam urusan seharian.

Jonny menekankan kepentingan keselamatan dan privasi data dalam sistem subsidi bersasar.
“Pelaksanaan sistem ini memerlukan perhatian serius terhadap privasi dan keselamatan data rakyat kerana setiap transaksi pembelian petrol direkodkan. Ini membabitkan soal perlindungan data dan siapa yang boleh mengaksesnya.
“Inisiatif ini juga menggalakkan penggunaan teknologi digital dalam urusan harian rakyat dan sistem kerajaan, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
“Saya yakin dengan kerajaan MADANI, jika semua cabaran dapat diurus dengan baik, inisiatif ini boleh menjadi model untuk subsidi lain pada masa hadapan,” katanya.

Salmah menyatakan tiada kerisauan mengenai penggunaan MyKad ketika berurus niaga di stesen minyak.
Sementara itu, penjawat awam, Salmah Namma, 38, berpendapat bahawa penggunaan MyKad untuk mendapatkan subsidi RON95 tiu bukanlah masalah besar dan memudahkan.
“Saya tiada masalah menunjukkan MyKad di stesen minyak. Ramai mungkin bimbang identiti disalah guna, tapi bagi saya tiada apa yang perlu dirisaukan kerana kad pengenalan itu sememangnya sentiasa dibawa ke mana-mana,” katanya.
-RJ-





