
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Bashsyar Abdullah (Kedah)
ALOR SETAR, 2 Okt (Malaysiaaktif) – Berdiri megah di hadapan Masjid Zahir, Jam Besar Alor Setar bukan sahaja berfungsi sebagai penunjuk masa, malah menjadi simbol sejarah, warisan serta ketamadunan Kesultanan Kedah yang telah bertahan sejak ratusan tahun.
Jam Besar yang dibina pada 1912 sewaktu pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah ini dulunya menjadi penanda waktu solat bagi masyarakat setempat.
Menara berketinggian lebih 30 meter ini cukup unik dengan seni bina Moghul-Islamik, dihiasi ukiran halus dan menara kecil yang membawa sentuhan Asia Selatan dan Timur Tengah
Jam Besar Alor Setar merupakan antara mercu tanda terawal di bandar ini yang kekal utuh hingga hari ini.
Struktur asalnya masih dikekalkan dan dibaik pulih dari semasa ke semasa bagi memastikan ia terus menjadi ikon kepada identiti Bandar Diraja Alor Setar.
Jam Besar ini turut berperanan sebagai titik rujukan kepada pelancong yang mengunjungi Masjid Zahir dan kawasan sekitar Pekan Rabu, Menara Alor Setar dan Balai Nobat.
Setiap hari, ramai pelawat tempatan dan luar negara singgah di situ untuk mengambil gambar kenangan berlatarbelakangkan menara jam ikonik itu.
Seorang pelancong yang hanya mahu dikenali sebagai Khairul Azwan, 34, berkata Jam Besar tersebut bukan sahaja indah dari segi seni binaannya, malah membawa nilai sentimental dan sejarah tinggi.
“Saya kagum bagaimana struktur lama ini masih kekal cantik dan menjadi kebanggaan rakyat Kedah. Ia melambangkan identiti warisan negeri,” katanya kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini.
Selain itu, kawasan di sekitar Jam Besar kini juga sering menjadi lokasi penganjuran program kebudayaan, fotografi perkahwinan, serta perarakan sambutan hari kebesaran negeri.
Dengan keindahan seni bina serta nilai sejarahnya, Jam Besar Alor Setar kekal sebagai mercu tanda kebanggaan rakyat Kedah dan simbol legasi Kesultanan yang terus merentasi zaman.
-FN







