Skip to main content
Berita TempatanSarawak

BUDI95: Penerima STR Terima Baik, Pembelian Berjalan Lancar

By 2 Oktober 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Norlia Mili (Sarawak)

KUCHING, 2 Okt (MalaysiaAktif) – Inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) yang diperkenalkan secara berperingkat bermula 27 September lalu memperlihatkan kelancaran proses pembelian dalam kalangan pengguna yang layak menikmati subsidi petrol RON95, terutamanya bagi penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Aini Ocoh berterima kasih kepada Kerajaan MADANI yang banyak membantu golongan berpendapatan rendah.

Tinjauan di stesen minyak PETROS Batu Kawa, iaitu rangkaian minyak yang beroperasi khusus di Sarawak, mendapati urusan pembelian berjalan lancar dan mendapat reaksi positif daripada pengguna yang ditemui, hari ini.

Pembantu kedai, Aini Ocoh, 62, berterima kasih kepada kerajaan kerana berterusan membantu rakyat dengan pelbagai jenis bantuan dan yang terbaharu melalui pemberian subsidi petrol RON95.

“Sebagai penerima bantuan STR, pembelian petrol RON95 pada harga RM1.99 sememangnya satu lagi bentuk bantuan daripada Kerajaan MADANI dan walaupun nampak kecil tetapi ia memberi kesan besar kepada kami yang berpendapatan rendah,” katanya.

Kenny berharap harga petrol RON95 akan kekal untuk tempoh yang lebih lama dan dapat diturunkan lagi.

Bagi Kenny Kieh, 41, seorang juruteknik elektrik yang bekerja sendiri, beliau berharap harga RM1.99 kekal untuk tempoh yang panjang kerana sangat membantunya, malah mengharapkan agar harga sedia ada dapat diturunkan lagi.

“Saya mengisi petrol sebanyak RM50 setiap dua atau tiga hari untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja dan kalau boleh, harga petrol diturunkan lagi supaya kesannya lebih terasa kepada keluarga yang menanggung kos sara hidup tinggi,” jelasnya.

Bagi Pegawai Perhubungan Pelanggan di salah sebuah hotel di Bandar Kuching, Alexander Adam, 25, beliau tidak menafikan bahawa harga petrol yang rendah ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan perbelanjaannya.

Bagi Alexander, BUDI95 membantu mengurangkan perbelanjaan bulanannya.

“Saya akui dan dapat merasakan penjimatan apabila mengisi minyak tadi dan pastinya kos pembelian yang dapat dijimatkan boleh digunakan untuk perbelanjaan harian lain seperti membayar bil-bil,” ujarnya.

Di beberapa stesen minyak selain PETROS, tinjauan turut mendapati ada pengguna memilih menggunakan aplikasi pembelian minyak seperti Setel bagi Petronas kerana lebih mudah, dengan hanya memerlukan satu kali pengesahan MyKad sebelum membuat pembelian.

Walaupun stesen minyak PETROS tidak mempunyai aplikasi sedemikian, urusan pembelian minyak di stesen tersebut tetap berjalan lancar, memperlihatkan pengguna telah bersedia dengan pelaksanaan BUDI95.

Johanes Sibat yakin proses pembayaran akan semakin berjalan lancar sehari dua ini.

Petugas pam di stesen tersebut, Johanes Sibat, 24, memaklumkan bahawa pelanggan yang membeli secara tunai boleh terus ke kaunter untuk membuat pembayaran, manakala bagi urusan pembelian atau pembayaran di terminal pam minyak, petugas akan membantu prosedur imbasan MyKad dan langkah seterusnya.

Pelaksanaan BUDI95 diakui memberi kelegaan serta manfaat kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, kerana bukan sahaja mengurangkan beban kos pengangkutan malah membolehkan mereka menyalurkan lebihan perbelanjaan kepada keperluan keluarga yang lebih penting.

Walaupun terdapat sedikit kekeliruan berkaitan inisiatif itu dalam kalangan pengguna, namun diyakini masalah tersebut akan dapat diselesaikan sepenuhnya secepat mungkin apabila mereka sudah terbiasa dengan sistem BUDI95 itu.

-RJ-

Tinggalkan komen anda