
Laporan/ foto: Wan Mohd Zuhairi/Siti Norsyahirah (Petaling)
PETALING JAYA, 9 Okt (MalaysiaAktif) – Seramai 40 pelajar dan guru dari Maahad Al-Irshad Lil-Banat, Yala, Thailand berpeluang menimba ilmu secara langsung mengenai fungsi agensi kerajaan serta mengasah kemahiran pengucapan awam dalam lawatan sambil belajar ke Pejabat Penerangan Daerah Petaling, di sini kelmarin.
Lawatan rentas sempadan itu menjadi lebih bermakna dengan kerjasama strategik Kelab Pidato Perdana Antarabangsa (KEPENTAS), sebuah organisasi yang aktif memperkasa seni pidato Bahasa Melayu di rantau nusantara.

Bengkel Asas Pengucapan Awam oleh Encik Ruddyansjah Mahtar Hams, Jurulatih KEPENTAS
Delegasi dari Selatan Thailand disambut wakil Pegawai Penerangan Daerah Petaling, Mohd Hizami Mohd Hanip, bersama barisan kepimpinan KEPENTAS.
Menurut Mohd Hizami program seumpama itu bukan sekadar pendedahan terhadap peranan Pejabat Penerangan dalam menyampaikan dasar dan maklumat kerajaan, malah menjadi platform penting bagi diplomasi kebudayaan.
“Kami berbesar hati menerima kunjungan delegasi dari Thailand, ini membuktikan Bahasa Melayu terus menjadi jambatan ilmu dan ukhuwah melangkaui sempadan geografi.
“Mereka dapat melihat bagaimana jentera kerajaan beroperasi di peringkat akar umbi,” katanya ketika ditemui.

Sesi praktikal bersama Encik Mohd Hizami
Menurutnya, kemuncak program adalah Bengkel Asas Pengucapan Awam Berkesan yang dikendalikan jurulatih berpengalaman dari KEPENTAS.
“Peserta didedahkan kepada teknik membina keyakinan diri, menyusun struktur ucapan mantap serta penguasaan intonasi dan gaya penyampaian berkesan,” jelasnya.
Sementara itu jurulatih KEPENTAS, Ruddyansjah Mahtar Hams berkata lawatan itu sejajar dengan misi kelab untuk memperluas jangkauan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di seluruh Nusantara.
“Pelajar dari Yala mempunyai asas Bahasa Melayu yang baik dan peranan kami ialah menukarkan kemahiran berbahasa itu kepada kemahiran berbicara yang persuasif dan bertenaga.
“Kami yakin pengalaman ini akan memacu mereka menjadi jurucakap cemerlang di masa hadapan,” ujarnya.
Sesi tersebut turut menyaksikan beberapa pelajar Thailand tampil berani menyampaikan pidato ringkas, membuktikan keberkesanan latihan yang diterima.
Lawatan diakhiri dengan sesi pertukaran cenderamata dan santai, sekali gus mengukuhkan harapan agar kerjasama antara Maahad Al-Irshad Lil-Banat, Pejabat Penerangan Daerah Petaling dan KEPENTAS dapat diteruskan pada masa akan datang.
-AA





