
Laporan/foto: Noor Aini/Siti Nur Balqis
KANGAR, 2 Okt (MalaysiaAktif) – Perkhemahan Integrasi Badan Beruniform SAIR 2025 di Muzium Kota Kayang, Perlis mencatat sejarah tersendiri apabila aktiviti eksplorasi gua (caving) menjadi pengalaman paling berharga buat 67 murid Tahun Enam Sekolah Agama al-Islahiyah (Rendah) (SAIR).
Program tiga hari anjuran Unit Pentadbiran SAIR dengan kerjasama Muzium Kota Kayang itu bukan sahaja menggalakkan pembelajaran luar bilik darjah, malah memupuk gaya hidup aktif dalam kalangan murid.

67 murid tahun enam Sekolah Agama al-Islahiyah (Rendah) (SAIR) merasai pengalaman baharu apabila melakukan eksplorasi gua ketika menyertai Perkhemahan Integrasi Badan Beruniform SAIR 2025 di Muzium Kota Kayang, Perlis.
Dalam aktiviti caving itu, peserta dibawa menyusuri gua bersejarah Muzium Kota Kayang yang terkenal dengan nilai warisan serta geologi unik.
Berbekalkan lampu kepala dan semangat berpasukan, murid menelusuri laluan sempit, memanjat batu licin dan mengharungi kegelapan gua selama satu jam.
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Azahari Othman berkata pengalaman mencabar itu menuntut keberanian murid selain kekal fokus dan saling bantu-membantu.
“Inilah latihan sebenar bagaimana mereka boleh mengaplikasi konsep kepimpinan dan kerja berpasukan.
“Aktiviti ini turut menjadi simbol kepada usaha sekolah melahirkan murid yang berani mencuba perkara baharu, aktif secara fizikal dan matang menghadapi cabaran”, katanya kepada Malaysia Aktif hari ini.
Beliau berkata aktiviti itu memberikan pengajaran bermakna sekiranya dalam gelap ada cahaya, dan dalam cabaran ada jalan keluar.
“Insya-Allah, murid-murid akan pulang dengan keyakinan baharu,” katanya yang juga Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SAIR.
Selain caving, perkhemahan turut diisi dengan aktiviti seperti ice breaking, jungle trekking, explorace, joran hebat serta pengisian kerohanian menerusi Bestari Solat, kuliah subuh dan tazkirah maghrib.

Aktiviti eksplorasi gua beri pendedahan baharu kepada murid, cipta keberanian dan lahirkan semangat untuk saling bantu-membantu.
Bertemakan “Go SAIR – Spiritual, Attitude, Independent & Reflective”, perkhemahan tersebut bukan sahaja membentuk murid yang lebih berdikari, malah memperkukuh jati diri mereka sebagai pewaris bangsa yang seimbang dari segi jasmani, emosi dan spiritual.
Aktiviti itu turut menjadikan Muzium Kota Kayang bukan sahaja sesuai sebagai lokasi perkhemahan, malah menggabungkan sejarah, warisan dan gaya hidup aktif dalam satu pengalaman yang cukup bernilai.
Walaupun perkhemahan yang dijadualkan berakhir esok, kenangan menelusuri gua bersejarah di Muzium Kota Kayang pasti menjadi memori paling indah buat semua peserta sekali gus membuktikan pendidikan boleh berlaku di mana sahaja, dan pengalaman sebenar adalah guru yang terbaik.
-FN





