Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Hari Sukan Negara 2025 Meriah di Kompleks Sukan Julau

By 18 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Siti Rahimah Ajis (Sarawak)

JULAU, 18 Okt (MalaysiaAktif) – Kompleks Sukan Julau semalam menjadi tumpuan apabila pelbagai agensi kerajaan peringkat daerah berkumpul sempena Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2025 yang dianjurkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau.

Acara yang bermula seawal jam 9 pagi itu dimeriahkan dengan Perlawanan Persahabatan Bola Tampar antara agensi-agensi kerajaan di Daerah Julau sebagai simbol perpaduan dan semangat kesukanan dalam kalangan penjawat awam.

Pertandingan bermula dengan penuh semangat dengan sorakan penyokong yang membangkitkan suasana meriah di Kompleks Sukan Julau.

Sebanyak sepuluh agensi kerajaan mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut iaitu Pejabat Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pejabat Kesihatan Bahagian, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Pusat Khidmat Parlimen Julau, IPD Julau dan Jabatan Penerangan (JAPEN) Julau.

Keputusan pertandingan menyaksikan RELA Julau B muncul johan, diikuti IPD Julau A sebagai naib johan manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing disandang oleh Angkatan Pertahanan Awam Daerah Julau A dan Pejabat Pendidikan Daerah Julau A.

Pasukan RELA Julau menjuarai pertandingan.

Ketika berucap merasmikan program, Ketua Polis Daerah Julau Deputi Superintenden (DSP) Alif Haiqal Ramesh Abdullah menyatakan kesyukuran atas kejayaan penganjuran program yang berlangsung dengan meriah dan penuh semangat kekitaan.

“Syukur alhamdulillah dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat berkumpul pada pagi ini di Kompleks Sukan Julau untuk bersama-sama bersukan dalam Perlawanan Persahabatan Bola Tampar antara agensi-agensi kerajaan di daerah Julau sempena Hari Sukan Negara 2025.

DSP Alif Haiqal menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Hari Sukan Negara 2025 di Kompleks Sukan Julau.

“Seperti yang kita sedia maklum, Hari Sukan Negara bukan sekadar acara tahunan tetapi satu gerakan nasional untuk membudayakan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan rakyat Malaysia, juga melambangkan simbol perpaduan, semangat kesukanan dan kekuatan komuniti,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa aktiviti sukan seperti ini bukan sahaja menyihatkan tubuh badan tetapi juga berperanan membina disiplin, kerjasama dan daya tahan diri selain mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan di Julau.

Program berakhir dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang serta laungan semangat “Selamat Menyambut Hari Sukan Negara 2025!” oleh semua peserta yang hadir.

-RJ-

Tinggalkan komen anda