Skip to main content
Rencana & Pendapat

Hidup Berkomuniti, Warisan Rumah Panjang Terus Dipertahan

By 14 Oktober 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Nyempal Inggang (Sarawak)

LUBOK ANTU, 14 Okt (MalaysiaAktif) – Rumah panjang merupakan simbol warisan dan perpaduan yang kekal utuh dalam kehidupan masyarakat pribumi di Sarawak. Ia bukan sahaja berfungsi sebagai tempat tinggal, malah mencerminkan gaya hidup berkomuniti serta semangat kekitaan yang diwarisi turun-temurun oleh kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu.

Ciri Tradisional dan Keunikan Struktur Rumah Panjang

Dinamakan rumah panjang kerana bentuknya yang memanjang, rumah tradisional ini menempatkan banyak keluarga di bawah satu bumbung. Dahulu, struktur asalnya dibina daripada kayu keras dan beratapkan daun rumbia atau nipah. Kini, rumah panjang moden banyak menggunakan bahan binaan seperti zink dan simen bagi menyesuaikan diri dengan perubahan masa.

Ruai di setiap rumah panjang adalah tempat untuk pelbagai aktiviti diadakan dan walaupun hari biasa tampak sunyi, kemeriahan itu bangkit di musim Gawai.

Kebanyakan rumah panjang didirikan di atas tiang tinggi bagi mengelakkan banjir serta melindungi penghuni daripada ancaman binatang buas. Tidak hairanlah, reka bentuk ini masih kekal digunakan dan dapat dilihat di banyak kawasan pedalaman hingga ke hari ini.

Setiap unit kediaman dikenali sebagai bilik, yang dihuni oleh satu keluarga. Di hadapan deretan bilik ini terdapat ruang panjang yang dinamakan ruai iaitu ruang utama bagi penduduk rumah panjang berkumpul untuk menjalankan pelbagai aktiviti sosial, keagamaan dan kebudayaan.

Nilai Kekeluargaan dan Semangat Gotong-Royong

Sesuai dengan amalan dan pegangan tradisi turun-temurun, kehidupan di rumah panjang amat menekankan nilai kekeluargaan dan semangat gotong-royong. Mereka saling membantu dalam urusan seharian seperti bertani, memburu serta menyediakan makanan.

“Kami penghuni rumah panjang masih seperti leluhur kami yang amat mementingkan hubungan sesama kami. Susah senang pasti membantu satu sama lain selagi masih tinggal di rumah panjang,” kata penghuni Rumah Panjang (Rh) Kanyan, Nyalak Ladong Juing Ullie, 42.

Juing Ullie dari Rh Kanyan, Nyalak Ladong.

Kehidupan di rumah panjang berkisar kepada erti kebersamaan dan penyatuan, menekankan kesepakatan dalam semua perkara tanpa mengira ketika senang mahupun susah.

Warisan yang Kekal Hidup di Tengah Arus Modenisasi

Walaupun ramai anak muda kini berhijrah ke bandar dan memilih untuk tinggal di rumah moden, rumah panjang masih memainkan peranan penting dalam mengekalkan identiti budaya masyarakat pribumi Sarawak. Upacara dan perayaan tradisional seperti Gawai Dayak serta pelbagai sambutan adat lain masih diraikan dengan penuh kemeriahan di rumah panjang, menandakan warisan nenek moyang terus hidup subur.

“Mungkin pada hari biasa rumah panjang kelihatan sunyi kerana hanya segelintir penduduk yang tinggal, namun suasana berubah meriah apabila tiba musim Gawai. Kepulangan kaum keluarga menjadikan rumah panjang kembali hidup dengan tawa dan nyanyian.

Dari satu sudut lain, keadaan Rh Kanyan masih sempurna dan luas.

“Bagi kami, perayaan Gawai dan rumah panjang adalah dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Rumah panjang ialah tempat kami berkumpul, bertemu saudara mara dan meraikan identiti kami sebagai anak Sarawak,” kata Bob Rachel Sibat, 35, penghuni Rh Saong, Serubah Ulu.

Sesungguhnya, rumah panjang di Sarawak bukan sekadar binaan tradisional. Ia merupakan lambang semangat perpaduan, kehidupan berkomuniti serta nilai budaya yang tidak ternilai, yang wajar terus dipertahankan untuk generasi akan datang.

-RJ-

Tinggalkan komen anda