Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Kerjasama Pelbagai Pihak Perlu untuk Laksana Inisiatif Kerajaan

By 20 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto: Anuar Che Amat

ARAU, 20 Okt (MalaysiaAktif) – Jalinan kerjasama antara agensi persekutuan dan negeri perlu terus diperkukuhkan dalam melaksanakan pelbagai inisiatif dan program yang memberi manfaat serta dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Perlis.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Tuanku Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin  Ibni Tuan Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah, semua pihak sama ada agensi, jabatan, mahupun usahawan perlu berganding bahu dalam mempelbagaikan pengeluaran barangan dan seterusnya memperkenalkan produk tersebut kepada pengunjung luar, khususnya sempena kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2026 yang kini sedang rancak berlangsung.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Pengurusan Tertinggi FAMA(Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) dari peringkat ibu pejabat dan juga negeri Perlis yang berjaya melaksanakan program Karnival Jualan Agro Madani @ Pasar Tani Kekal Simpang Empat yang berlangsung dengan jayanya,” titah Baginda, di sini semalam.

Baginda bertitah inisiatif itu perlu diperluaskan ke seluruh pelusuk negeri melalui sinergi bersama agensi seperti Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Antara barangan yang dijual lebih murah dari harga pasaran.

“Sebagai contoh, langkah FAMA yang menyemarakkan Dataran ABC MAIPs melalui operasi Pasar Tani FAMA adalah satu usaha yang sangat berkesan. Inisiatif ini bukan sahaja memeriahkan suasana, malah turut memberi peluang kepada golongan asnaf untuk menambah pendapatan mereka,” titah Baginda.

Raja Muda Perlis juga menyeru para usahawan di negeri berkenaan sentiasa cakna terhadap perkembangan ekonomi global, memahami kehendak pasaran secara mendalam serta bersedia meneroka peluang baharu seiring dengan perubahan dinamik dunia hari ini dan mengambil peluang menggunakan segala perkhidmatan, peluang dan sokongan yang disediakan oleh agensi dan jabatan seperti FAMA dan lain-lain.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah ( Khidmat Pengurusan) FAMA, Sharidan Sudiman berkata penganjuran karnival itu bertujuan membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan tawaran harga jualan yang lebih rendah dari pasaran.

“Karnival yang berlangsung selama empat hari ini di harap memberi manafaat kepada lebih 12,000 isi rumah dengan sasaran jualan sebanyak RM 437,000 melibatkan seramai 60 usahawan komuniti,” katanya.

Program Karnival Jualan Agro Madani @ Pasar Tani Kekal Simpang Empat ini telah berlangsung selama empat hari bermula 16 Oktober dan berakhir semalam.

-AA-

Tinggalkan komen anda