
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Kedah)
PENDANG, 5 Okt (MalaysiaAktif) – Penganjuran Karnival Kebajikan Haiwan 2025 dan Hari Rabies Sedunia 2025 yang berkonsepkan pendidikan dan kesedaran bertujuan mengajak masyarakat supaya lebih menyayangi dan memahami tanggungjawab terhadap kebajikan haiwan peliharaan dan terbiar.

Pelbagai jenis baka kambing yang dipamerkan.
Bagi pengunjung, Abdul Halim Ahmad, 65, program sedemikian memberi kesedaran kepadanya tentang kepentingan menyayangi dan menjaga kebajikan haiwan peliharaan.
“Saya datang dengan keluarga untuk lihat lembu ‘sado’ dan bawa cucu tengok haiwan di zoo mini. Memang seronok, tapi dalam masa sama saya belajar juga tentang cara betul menjaga haiwan.
“Harap program macam ni diadakan setiap tahun,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Antara lembu-lembu ‘sado’ yang dipamerkan/
Karnival selama tiga hari yang berakhir hari ini menghimpunkan baka lembu terbaik dari seluruh utara dan pantai timur negara melalu acara Himpunan Lembu Sado Utara 4.0 selain turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti persembahan silat, pertandingan tomoi, cabutan bertuah dan jualan produk tempatan.
Karnival anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah itu menjadi platform mendekatkan masyarakat dengan usaha pihak berkuasa dalam memastikan kebajikan haiwan terus dipelihara, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai kasih sayang dan tanggungjawab sosial.
-RI





