Skip to main content
Berita TempatanRencana & PendapatSarawak

Musim Bunga Durian: Rezeki Tambahan Penduduk Serian

By 5 Oktober 2025Oktober 6th, 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ foto : Greatest Tagel (Sarawak)

SERIAN, 5 Okt (MalaysiaAktif) – Setiap kali musim pokok durian berbunga, suasana di beberapa kampung sekitar daerah Serian menjadi lebih meriah apabila bagi penduduk tempatan, khususnya golongan suri rumah, musim ini bukan sekadar menandakan kemunculan awal buah durian, tetapi turut membuka peluang untuk menjana pendapatan tambahan melalui hasil alam yang unik iaitu bunga durian.

Bunga durian yang telah dikutip dan dibersihkan.

Rezeki Bermusim yang Tak Ternilai

Selain dijadikan hidangan istimewa keluarga, bunga durian kini menjadi sumber rezeki sampingan bagi ramai penduduk apabila ia dijual di pasar tamu dan gerai-gerai kampung sekitar daerah ini. Aromanya yang harum dan rasanya yang tersendiri menjadikan bunga durian semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat makanan tradisional.

Menurut Freda Nyaun, 54, pokok durian di kawasan Serian biasanya berbunga sekali atau dua kali setahun, bergantung kepada keadaan cuaca dan kesuburan tanah.

Katanya, musim berbunga ini amat dinantikan kerana bukan sahaja menjadi petanda awal musim durian, malah membawa limpahan rezeki kepada masyarakat setempat.

“Bunga durian bukan sahaja berbau harum, malah rasanya enak. Ia boleh dimasak dalam pelbagai cara seperti digoreng, dimasak berkuah atau dijadikan tempura dan cucur bunga durian yang rangup serta lazat,” katanya ketika ditemui di kebun duriannya di Kampung Riih Mawang, semalam.

Bunga durian digoreng tepung, ranggup dan menyelerakan.

Tambahnya lagi, ramai penduduk kampung mengambil peluang menjual bunga durian segar di tepi jalan dan di pasar tamu dengan harga yang bergantung kepada saiz serta kualitinya.

“Aktiviti mengutip bunga durian ini bukan sekadar untuk menambah pendapatan, tetapi juga menjadi amalan turun-temurun yang mengeratkan hubungan sesama keluarga dan jiran. Biasanya kami akan keluar seawal pagi membawa bakul untuk mengutip bunga yang gugur sebelum rosak dimakan serangga,” ujarnya.

Cabaran Cuaca dan Perubahan Iklim

Menariknya, musim durian berbunga bukan sahaja membawa rahmat kepada manusia, malah turut memberi manfaat kepada hidupan liar seperti keluang, tupai, monyet dan lebah yang menjadikan bunga tersebut sebagai sumber makanan utama mereka.

Bagaimanapun, perubahan iklim dan cuaca yang tidak menentu seperti panas berpanjangan atau hujan lebat berterusan boleh menjejaskan proses pembungaan pokok durian sekali gus mempengaruhi hasil buah pada musim berikutnya.

Bunga durian yang telah dibersihkan.

Bagi masyarakat luar bandar yang memiliki kebun durian, musim bunga durian bukan sekadar fenomena alam, tetapi tradisi yang diwarisi sejak turun-temurun. Ia melambangkan hubungan erat manusia dengan alam serta nilai gotong-royong yang masih kukuh dalam komuniti setempat.

Musim berbunga yang indah ini bukan sahaja memberi warna kepada landskap kampung, tetapi juga menjadi lambang kearifan tempatan dalam memanfaatkan anugerah alam sebagai sumber rezeki yang berterusan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda