
Laporan/foto: Hanafi Sariman
GEORGE TOWN, 4 Okt (MalaysiaAktif) – Pameran Aquamarine: Penang’s Blue Haven – Life Beneath the Surface yang sedang berlangsung di Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang (BSLNPP) sejak 13 September lalu menerima sambutan hangat apabila berjaya menarik lebih 1,000 pengunjung dalam tempoh kurang sebulan.
Pameran ini mengetengahkan keindahan dan kepelbagaian hidupan marin, ekosistem lautan serta usaha pemuliharaan alam sekitar melalui gabungan karya seni, spesimen sebenar dan teknologi interaktif.

Orang ramai dialu-alukan untuk berkunjung ke pameran ini yang berlangsung hingga 15 November ini bertempat di Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang.
Kurator BSLNPP Fairudz Ikhwan berkata pameran tersebut bukan sekadar ruang apresiasi seni malah berfungsi sebagai platform pendidikan tidak formal yang berimpak tinggi.
“Pameran ini menggabungkan sains biodiversiti dengan seni, menjadikan BSLNPP sebagai pusat pembelajaran tidak formal. Ia memupuk kesedaran, keprihatinan dan rasa tanggungjawab dalam kalangan masyarakat terhadap pemuliharaan hidupan marin,” ujarnya.
Pengunjung berpeluang meneroka dunia laut menerusi paparan spesimen hidupan marin, karya seni bertema samudera serta skrin digital interaktif yang memberikan pengalaman seolah-olah menyelami dasar lautan.
Bagi seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibrahim Fikri, Seberang Takir Terengganu, Wan Nur Adli Wan Ngah, 39, pameran itu dipilih sebagai salah satu destinasi lawatan sekolah mereka ke negeri pulau mutiara itu.

Taklimat daripada petugas Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang.
“Pameran ini bukan sahaja menarik malah memberi pendedahan berharga kepada pelajar tentang kepelbagaian hidupan laut dan cabaran pencemaran yang mengancam ekosistem marin,” katanya.
Sementara itu, seorang pelajar, Afiq Haikal, 15, yang hadir bersama keluarganya ke pameran berkenaan melahirkan rasa teruja apabila dapat melihat spesimen sebenar dan teknologi interaktif yang memberinya gambaran jelas tentang kehidupan di dasar laut.
Pameran akuamarin ini dibuka sehingga 15 November depan di Aras 3 Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang. dengan waktu lawatan ialah dari 9 pagi hingga 5 petang setiap hari, kecuali Jumaat serta cuti umum dan kemasukan adalah percuma.
Program dianjurkan dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Jabatan Perikanan Malaysia, Akuarium Tunku Abdul Rahman serta organisasi pemuliharaan D Project.
-RI





