
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Warta Kedah (Kedah)
ALOR SETAR, 31 Okt (Malaysiaaktif) – Pertandingan Akhir Pidato Piala YB Dato’ Seri Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman menjadi platform kepada penjawat awam memupuk keberanian, kepimpinan dan keupayaan menyampaikan fakta sahih kepada masyarakat dalam era digitalisasi.

Norizan bersama para peserta Pertandingan Akhir Pidato.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Seri Norizan Khazali berkata pertandingan yang julung kali dianjurkan oleh Bahagian Sumber Manusia, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah itu disertai 28 peserta dan menyaksikan enam finalis berentap pada pusingan akhir bertemakan ‘Penjawat Awam Inovatif dan Responsif: Dalam Era Digitalisasi’.
“Pentas ini bukan sekadar arena bersuara tetapi tempat menyalakan obor ilmu, medan meneguhkan jati diri dan platform menyemai kecintaan terhadap bahasa dan budaya bangsa,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kedah (JKKN), di sini semalam.
Program berkenaan bukan sahaja menyerlahkan bakat pidato dalam kalangan penjawat awam, malah memperkukuh peranan mereka sebagai penyampai maklumat yang sahih dan berwibawa, selaras dengan aspirasi kerajaan negeri membentuk perkhidmatan awam yang progresif, inovatif dan responsif terhadap cabaran era digital.
-RI






