
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman/Facebook Zahari Sarip (Johor)
SEGAMAT, 13 Okt (MalaysiaAktif) – Jabatan Perikanan Negeri Johor mencatat sejarah apabila berjaya melepaskan 1.6 juta ekor benih udang galah serentak di seluruh negeri, sekali gus diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai ‘Pelepasan Benih Udang Galah Terbanyak di Malaysia’.

Penyerahan sijil pengiktirafan MBOR oleh Pegawai MBOR, Siti Nurhanim Mohd Noh kepada Pengarah Perikanan Negeri Johor, Rosmawati Ghazali.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip berkata inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen strategik antara kerajaan negeri, jabatan dan komuniti nelayan darat dalam usaha memulihara serta memelihara sumber perikanan air tawar di Johor.
“Melalui peruntukan keseluruhan RM650,000 bagi tahun 2025, iaitu RM600,000 daripada kerajaan negeri dan RM50,000 daripada Kerajaan Persekutuan, sebanyak tiga juta benih udang galah dan 202,000 benih ikan akan dilepaskan di lapan lokasi terpilih seluruh negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program tersebut di Sungai Muar, Jambatan Putus, di sini semalam.
Program itu turut dilaksanakan serentak di tujuh daerah iaitu Segamat, Kluang, Muar, Tangkak, Batu Pahat, Mersing dan Kota Tinggi, melibatkan lima lembangan sungai utama Sungai Muar, Sungai Ulu Benut, Sungai Sembrong, Sungai Telor dan Sungai Lenggor.
Selain pengiktirafan MBOR, majlis turut menyaksikan penyerahan lesen nelayan darat dan peralatan keselamatan kepada 34 nelayan baharu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap, Segamat.

34 nelayan baharu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap, Segamat turut menerima penyerahan lesen nelayan darat dan peralatan keselamatan.
Dalam pada itu, Zahari memaklumkan sektor perikanan darat Johor terus mencatat pertumbuhan positif dengan pengeluaran 1,400.33 tan metrik bernilai RM18.77 juta pada 2024 berbanding 1,184 tan metrik bernilai RM16.78 juta tahun sebelumnya.
“Ini merupakan komitmen kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) untuk terus menyokong sektor perikanan darat melalui pelbagai bantuan seperti Program Bantuan Kasih Johor, penyediaan peralatan keselamatan, jaring, enjin sampan dan pembinaan jeti pendaratan bagi kemudahan nelayan,” katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Perikanan Malaysia Yeo Moi Eim, Pengarah Perikanan Negeri Johor Rosmawati Ghazali dan Pegawai MBOR Siti Nurhanim Mohd Noh.
-RI





