
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 17 Okt (MalaysiaAktif) – Sebanyak 2,419 Program Jualan Rahmah Mega (PJRM) telah dilaksanakan di seluruh Selangor bermula Januari hingga 30 September lepas, melibatkan jumlah subsidi hampir RM15 juta.

Zuhairi memaklumkan PJRM sempena Deepavali 2025 berlangsung 16 hingga 22 Oktober di 124 lokasi seluruh Selangor.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey, PJRM menawarkan pelbagai barangan asas pada harga sekurang-kurangnya 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
“Sempena sambutan Deepavali 2025 yang berlangsung dari 16 hingga 22 Oktober, sebanyak 124 lokasi PJRM diadakan di seluruh negeri bagi memberi peluang kepada rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah,” katanya selepas meninjau sebuah pasar raya, di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata pemeriksaan pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) turut dijalankan oleh 15 pegawai penguat kuasa KPDN Selangor, dengan fokus terhadap sembilan jenis barangan terkawal di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

PJRM menawarkan potongan harga sehingga 30 peratus berbanding harga pasaran.
“Pemeriksaan termasuk harga barangan tidak melebihi kadar maksimum ditetapkan dan penggunaan tanda harga berwarna merah jambu (pink tag) bagi barangan kawalan.
“Turut diberi perhatian alat timbang dan sukat telah ditentusah serta bekalan barangan mencukupi sepanjang musim perayaan,” jelasnya.
Mohd Zuhairi turut menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan, termasuk dikenakan penalti mengikut undang-undang.
-RI






