
Laporan/ foto : Regina Lasia (Sarawak)
LONG LAMA, 16 Okt (MalaysiaAktif) – Kesedaran terhadap keselamatan kebakaran dalam kalangan penduduk luar bandar terus diperkukuhkan melalui Program Kita Selamat Miri 2025 yang berlangsung pada 14 Oktober dan berakhir semalam.

Dennis Ngau menyampaikan ucapan perasmian Program Kita Selamat Miri 2025.
Program anjuran PETRONAS bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kee Tee di sini dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Datuk Dennis Ngau.
Ketika berucap merasmikan program, Dennis menyeru setiap keluarga di kawasan Telang Usan mengambil berat aspek keselamatan di rumah terutamanya berkaitan risiko kebakaran.
“Setiap rumah perlu mempunyai sekurang-kurangnya satu alat pemadam api yang bukan sahaja sebagai langkah berjaga-jaga tetapi satu keperluan penting bagi melindungi keluarga dan harta benda sekiranya berlaku kebakaran,” katanya lagi.

Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Jamri Masran berucap mewakili Pengarah JBPM Sarawak.
Pada program tersebut, beliau turut menyerahkan alat pemadam api kepada 10 buah kampung di Telang Usan sebagai simbolik kepada usaha meningkatkan kesiapsiagaan keselamatan komuniti luar bandar.
Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Jamri Masran berkata pendedahan awal mengenai langkah-langkah pencegahan dan keselamatan perlu diketahui semua pihak terutamanya membabitkan komuniti di luar bandar.
“Setiap kali berlakunya kebakaran, tindakan pantas tanpa situasi kelam kabut membantu mengurangkan kesan lebih serius,” katanya yang mewakili Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak sewaktu berucap.

Sesi fotografi peserta Program Kita Selamat Miri 2025 di Dewan SJK (C) Kee Tee.
Program dua hari itu turut menampilkan pelbagai aktiviti pendidikan keselamatan termasuk demonstrasi memadam kebakaran, ceramah keselamatan, kawad kering dan kawad basah oleh pihak bomba termasuk aktiviti interaktif bersama masyarakat setempat.
Turut hadir Pengurus Besar Kanan PETRONAS Carigali Sarawak Asset Shalby Reduan, wakil Pegawai Daerah Telang Usan, Mike Authur Nakabok, Guru Besar Wong Ding Miew, ketua-ketua masyarakat dan ketua-ketua kaum.
-RJ-





