Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Rakyat Teruja Saksikan Perarakan Istiadat Pernikahan Diraja

By 3 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norshazila Ahmad/Hazlina Tajuddin (Selangor)

KLANG, 3 Okt (MalaysiaAktif) – Istiadat Pernikahan Diraja Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor dan pasangannya Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Datuk Abdul Aziz yang berlangsung semalam menjadi detik bersejarah buat pengunjung yang hadir menyaksikan kemeriahannya.

Muhammad Hafiz (tiga dari kiri) hadir dari Hulu Selangor meluahkan rasa teruja berpeluang menyaksikan istiadat perarakan pernikahan Raja Muda Selangor , sekali gus menyifatkannya sebagai satu kebanggaan buat rakyat Selangor.

Lebih 2,000 rakyat jelata hadir bagi menyaksikan perarakan Istiadat Pernikahan Diraja seawal pukul 7 pagi.

Pengunjung yang hadir dari Hulu Selangor, Muhammad Hafiz Nor Azman, 27, berasa gembira dan bangga dapat menyaksikan perarakan penuh tradisi sempena Istiadat Pernikahan Diraja itu.

“Saya dan rakan-rakan saya sangat teruja dapat melihat sendiri kemeriahan Istiadat Pernikahan Diraja yang belum pernah saya saksikan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Yasotha Perinaicken, 52, menyifatkan Istiadat Pernikahan Diraja itu sangat istimewa dan ianya merupakan peluang untuk rakyat berbilang kaum bersama-sama menyaksikan detik bersejarah tersebut.

“Saya rasa sangat gembira ramai yang hadir menyaksikan perkahwinan ini dengan memakai pakaian tradisional mengikut kaum masing-masing sambil memegang bendera negeri Selangor dan melambai kepada Raja Muda Selangor,” katanya.

Yasotha (tiga dari kiri) memakai pakaian tradisional bersama rakan sekerjanya teruja menyaksikan istiadat perarakan pernikahan Raja Muda Selangor.

Yasotha yang bekerja di Klang turut berbangga acara itu diadakan di Klang seterusnya mengangkat lagi nama Klang sebagai Bandar Diraja Klang.

Raja Muda Selangor kelihatan berseri mengenakan busana putih dan bersongkok diarak sejauh kira-kira 650 meter dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz ke Istana Alam Shah menaiki kenderaan istana Rolls Royce A1 diiringi oleh Rejimen ke-25 Askar Melayu Diraja sebagai jejawat serta paluan gemilang kompang Istana Diraja Selangor.

Perarakan dimulakan dengan bacaan doa oleh Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Datuk Muhammad Farhan Wijaya bagi memberkati istiadat pernikahan yang berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah secara tertutup.

-RI

Tinggalkan komen anda