Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

UUM Perluas Pilihan Penginapan Pelajar Menerusi Inasis Luar Kampus

By 6 Oktober 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/ Facebook Universiti Utara Malaysia (Kedah)

SINTOK, 6 Okt (Malaysia Aktif) – Universiti Utara Malaysia (UUM) memperkenalkan kemudahan baharu dikenali sebagai Inasis Luar Kampus, yang menawarkan pilihan penginapan selesa dan selamat kepada pelajar serta staf universiti berkenaan.

Meskipun berkonsepkan luar kampus, kemudahan itu tetap terletak dalam kawasan berpagar universiti di Sintok, sekali gus mengekalkan tahap keselamatan dan kemudahan yang sama seperti inasis sedia ada.

Antara inasis luar kampus yang disediakan.

Pengetua Inasis Luar Kampus UUM, Mohd Sukri Othman berkata konsep berkenaan berbeza daripada universiti lain yang kebiasaannya memerlukan pelajar menyewa rumah di luar kampus.

“Inasis Luar Kampus menyediakan pelbagai jenis kediaman seperti rumah teres, semi-D dan banglo dengan kapasiti antara enam hingga 10 orang bagi setiap rumah.

“Semakin ramai pelajar peringkat sarjana muda memohon kerana mereka boleh tinggal berlima atau berenam serumah,” katanya semalam.

Beliau berkata kemudahan itu meliputi kawasan Sisiran Naib Canselor, Taman Universiti dan Sisiran Sintok, yang mampu menampung kira-kira 1,200 pelajar pada satu-satu masa.

Penghuni turut menikmati kemudahan seperti stiker kenderaan, perkhidmatan bas ulang-alik dan kawalan keselamatan di pintu masuk, sama seperti penghuni inasis dalam kampus.

Mohd Sukri menambah kawasan perumahan tersebut turut didiami staf universiti bagi mewujudkan suasana komuniti yang harmoni.

Permohonan bagi staf katanya boleh dibuat di Pejabat Sisiran Sintok, manakala pelajar prasiswazah dan pascasiswazah boleh memohon melalui Student Portal atau Student Accommodation Centre (SAC).

Konsep Inasis Luar Kampus dilihat sebagai inisiatif inovatif UUM dalam menambah baik kualiti kehidupan pelajar dan staf, selain mengekalkan keselamatan serta keselesaan dalam persekitaran universiti yang terkawal.

Langkah tersebut turut memperkukuh reputasi UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka yang bukan sahaja menumpukan kepada kecemerlangan akademik, tetapi juga kesejahteraan dan kebajikan warganya dalam kampus berkonsepkan komuniti lestari.

-AA

Tinggalkan komen anda