
Laporan/foto: Nuzuluddin Abdul Razak/Dexter Cysonned (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 2 Okt (MalaysiaAktif) – Persatuan SLE Sabah Chapter akan terus memperkasa usaha untuk meningkatkan kesedaran orang awam berkenaan penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) atau lebih dikenali sebagai penyakit Lupus.
Melalui program Lupus (SLE) Awarness Walk-a-Payung 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Konven. St. Cecilia Sandakan pada 19 Oktober, persatuan berupaya membuka ruang kepada masyarakat pelbagai peringkat umur untuk berbincang dan mendalami ilmu berkenaan simptom serta risiko penyakit berkenaan.
Pakar Reumatologi Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, Dr. Anna Farazilah Mohd Salleh berkata program seumpama itu adalah platform untuk membina komuniti dan solidariti dalam kalangan pesakit serta keluarga mereka sekali gus mengurangkan stigma terhadap penyakit tersebut.

Dr. Anna Farazilah semasa ditemubual berkenaan Walk-A-Payung 2025: Kesedaran Penyakit Lupus untuk program bual bicara TeaTalk@JAPEN Sabah di studio BMS Jabatan Penerangan Sabah.
“Kami berharap program ini dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan kesedaran awam yang ketara mengenai penyakit Lupus dengan mendedahkan maklumat yang tepat agar masyarakat lebih memahami cabaran yang dihadapi pesakit Lupus.
“Acara ini (Lupus (SLE) Awarness Walk-a-Payung 2025) bukan sekadar berjalan kaki tetapi sebagai bentuk sokongan moral dan emosi kepda pesakit dan kami berharap setiap peserta akan merasa bahawa mereka tidak berjuang bersendirian dengan adanya sokongan padu dari komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual semasa sesi TeaTalk@JAPEN, di sini pada Khamis.
Merangkap ahli seumur hidup Persatuan SLE Sabah Chapter, Dr Anna Farazilah menambah penggunaan payung sepanjang program adalah simbol kepada cabaran yang dihadapi penderita Lupus antaranya mempunyai kulit lebih sensitif terhadap sinaran ultraungu (UV).
“Sinaran ultraungu (UV) boleh memicu atau memburukkan gejala penyakit, seperti ruam, radangan, dan keletihan. Sinar matahari boleh menyebabkan sel-sel kulit pesakit lupus rosak dan mengakibatkan keradangan,” ujarnya.
Untuk rekod, SLE adalah penyakit autoimun yang lazimnya dihidapi individu berumur antara 15 sehingga 25 tahun dan 95 peratus pesakit terdiri daripada wanita dalam usia subur, manakala lelaki dan kanak-kanak mewakili peratusan lebih kecil.
SLE berlaku apabila apabila sistem imun badan menyerang sel-sel dan organ tubuh yang boleh menyebabkan keradangan yang ringan sehingga tahap serius merangkumi pelbagai jenis organ seperti kulit, sendi, buah pinggang, otak, jantung, paru-paru dan sel darah penderita Lupus.
-RJ-





