
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Mohd Nizwan Mohd Daini (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 10 Okt (MalaysiaAktif) – Menyedari pentingnya bertindak pantas ketika kecemasan, warga Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah berpeluang mempelajari asas bantuan pernafasan kecemasan atau Cardiopulmonary Resuscitation (CPR).
Taklimat khas daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu dilaksanakan sempena Perhimpunan Bulanan JAPEN Sabah 2025 di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi Sabah, di sini Khamis lepas.
Leftenan Muda Pertahanan Awam, Unit Latihan APM Kota Kinabalu, Laerry Gidin berkata sesi tersebut bukan sekadar pengenalan kepada CPR, tetapi turut merangkumi pengetahuan penting seperti balutan kecederaan, pengendalian kes tercekik dan kaedah menyelamat dalam situasi kecemasan.

Laerry (kanan) ketika menyampaikan taklimat asas bantuan kecemasan kepada warga Jabatan Penerangan Sabah.
“Kami mahu peserta faham bahawa asas pertolongan cemas bukan sekadar teori, tapi kemahiran penting untuk menyelamatkan nyawa sama ada ahli keluarga, rakan sekerja atau orang awam.
“Pengetahuan asas CPR wajar dikuasai oleh setiap individu kerana kejadian kecemasan boleh berlaku tanpa diduga di mana-mana sahaja. Sedikit ilmu dan tindakan pantas boleh menjadi perbezaan antara hidup dan mati,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini pada Khamis.
Salah seorang peserta, Pegawai Penerangan Zaidi Jamin percaya ramai peserta mendapat manfaat daripada sesi berkenaan antaranya teknik yang tepat membantu mangsa yang tidak sedarkan diri.
“Pengetahuan tentang CPR amat penting kerana malang tidak berbau. Sekurang-kurangnya seorang dalam keluarga perlu tahu asas ini untuk menghadapi situasi kecemasan.

Sebahagian warga Jabatan Penerangan Sabah yang mengikuti taklimat asas bantuan kecemasan bersama APM di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi Sabah, Kota Kinabalu.
“Ceramah berkaitan CPR perlu dilakukan dengan lebih kerap kepada semua masyarakat di semua peringkat umur agar masyarakat kita sentiasa peka dan cakna terhadap nyawa dan keselamatan di sekeliling kita,” ujarnya.
Bagi Haraini Jaudee, pengalaman menyaksikan demonstrasi CPR memberi kesedaran tentang kepentingan bertindak pantas dalam situasi yang tertentu.
“Biarpun kita bukan petugas perubatan, tindakan segera boleh menggandakan peluang menyelamatkan orang lain. Apa yang saya belajar hari ini akan saya kongsi kepada keluarga dan rakan-rakan,” katanya.
-RJ-








