Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

468 Sekolah, 3,435 Pelajar Terlibat dalam Kempen Internet Selamat Johor

By 22 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

JOHOR BAHRU, 22 Nov (MalaysiaAktif) – Sebanyak 468 buah sekolah di seluruh Johor berjaya melaksanakan modul Kempen Internet Selamat (KIS) sehingga 15 November, melibatkan penyertaan 3,435 pelajar.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Ts. Dr. Ali Selamat, berkata kempen berkenaan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kefahaman pelajar tentang keselamatan digital serta membentuk budaya penggunaan Internet yang beretika dan bertanggungjawab.

Penyerahan vest kepada Ikon Kapten K-Dat dalam kalangan guru dan pelajar sebagai ejen perubahan serta duta Kempen Internet Selamat di sekolah masing-masing.

Beliau menegaskan bahawa pendedahan melalui KIS mampu membantu pelajar membezakan antara maklumat sahih dan berita palsu selain mendidik mereka menggunakan teknologi secara selamat dan berhemah.

“Pembelajaran akan menjadi lebih selamat dan berkesan apabila pelajar tahu memilih laman web atau aplikasi pembelajaran yang sahih serta mengelakkan pendedahan kepada kandungan tidak sesuai seperti keganasan dan pornografi,” katanya ketika berucap di perasmian KIS Peringkat Negeri Johor 2025 di Dewan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS), di sini semalam.

Menurutnya, mesej utama kempen bukan sekadar menekankan akses Internet yang murah, meluas dan pantas, tetapi yang lebih penting ialah memastikan keselamatan pengguna, khususnya kanak-kanak, golongan muda dan keluarga.

Sesi perkongsian dari PDRM dan SKMM dalam Forum Bicara Santai mengenai Kempen Internet Selamat (KIS).

“Kami di UTM menyokong sepenuhnya Kempen Internet Selamat anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di sekolah serta institusi pengajian tinggi kerana inisiatif ini menjadi benteng penting melindungi pelajar daripada menjadi mangsa jenayah siber,” katanya.

Program melibatkan hampir 400 pelajar UTM Johor Bahru dan 100 pelajar dari sembilan sekolah rendah dan menengah sekitar daerah ini.

Turut hadir Pengarah Kanan SKMM Wilayah Selatan Ts Rizal Abd Malek, Ketua Penolong Pegawai Daerah Kulai Mohd Asnawi Amat Jupri mewakili Pegawai Daerah Kulai, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Johor Norazalinawati Dahlan dan Pengarah SKMM Johor Nurzie Ibrahim.

-RI

Tinggalkan komen anda