
Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini Mohamad
MARANG, 22 Nov (MalaysiaAktif) – Suasana meriah dan penuh penghayatan mewarnai Festival Kesenian Islam dan Program Dakwah Negara Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Asrama Darul Falah, Bukit Payong kelmarin, sekali gus memperkukuh usaha mengembangkan hiburan dan sukan yang mematuhi syariat Islam.

Dr. Zulkifli Hasan, berucap di Festival Kesenian Islam dan Program Dakwah Negara Peringkat Kebangsaan 2025.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan, berkata penganjuran program ini menjadi wadah utama untuk menarik minat generasi muda mendekati aktiviti yang mendidik jiwa serta membentuk keperibadian unggul.
Menurut beliau, Islam tidak pernah menolak hiburan dan sukan, malah menggalakkannya selagi ia berlandaskan prinsip dan nilai yang digariskan agama.
“Kita menyediakan platform hiburan dan sukan yang berkualiti serta selari dengan tuntutan syariat. Tahun ini, kita menampilkan tokoh sukan positif seperti Sonny Bill Williams, bekas bintang ragbi All Blacks, serta Khabib Nurmagomedov, bekas juara dunia UFC lightweight. Turut menyerikan program ialah ikon seni berpengaruh, Yusuf Islam (Cat Stevens),” jelasnya.

Turut diadakan Forum Ehwal Islam bertajuk membina masyarakat harmoni dan bahagia.
Tambahnya, penyertaan ikon-ikon antarabangsa ini mampu memberi inspirasi kepada anak muda kerana kecemerlangan dan nilai peribadi mereka mencerminkan kehidupan yang berpaksikan prinsip Islam.
“Matlamat kita jelas, menarik minat anak-anak muda melalui pendekatan yang sesuai. Islam membenarkan hiburan dan menggalakkan sukan, tetapi semuanya ada panduan. Program seperti ini memastikan mereka terlibat secara sihat, terarah dan berfaedah,” katanya.
Festival itu turut menawarkan pelbagai aktiviti kesenian Islam, acara sukan bermanfaat serta sesi bimbingan kerohanian yang menekankan pembinaan sahsiah, disiplin dan gaya hidup sejahtera menurut acuan Islam, menjadikannya platform penting dalam memupuk generasi muda berilmu dan berakhlak tinggi.
-RI





