
Laporan/foto: Hasnida Sharani/Sharil Alias (Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 30 Nov (MalaysiAktif) – Dua buah Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Negeri Sembilan telah mula beroperasi pada Jumaat bagi menempatkan mangsa banjir.
Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun memaklumkan PPS Balai Raya Permatang Pasir dan PPS Sekolah Kebangsaan Jimah telah dibuka susulan keadaan cuaca serta paras air di beberapa kawasan yang semakin meningkat.
“Setakat jam 9 pagi, seramai 93 mangsa telah direkodkan berada di kedua-dua PPS tersebut,” katanya, di sini kelmarin.
Beliau turut menasihati penduduk di kawasan rendah atau berhampiran sungai agar sentiasa berwaspada dan segera mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah.
“Utamakan keselamatan keluarga dan nyawa. Saya juga merakamkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan, sukarelawan serta agensi keselamatan yang terus memastikan kebajikan mangsa terpelihara,” katanya.
-FN





