
SEREMBAN, 30 Nov (MalaysiAktif) – Negeri Sembilan Command Centre (NeSCOM) telah diaktifkan pada Jumaat bagi memantau perkembangan cuaca dan situasi banjir di seluruh negeri.
Menteri Besar Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata langkah berkenaan diambil dalam memastikan semua kawasan titik panas di negeri itu berada dalam pemantauan rapi.
“Khususnya apabila hujan (taburan) melebihi 200 milimeter (mm) dalam tempoh yang panjang dan berpotensi menyebabkan limpahan air di beberapa lokasi.
“Saya menyeru rakyat Negeri Sembilan supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati. Segera maklumkan kepada pihak berkuasa jika ada kejadian luar jangka di kawasan masing-masing,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, kelmarin.
Aminuddin turut menjelaskan bahawa semua agensi di peringkat daerah telah diarahkan untuk bersiap-sedia, termasuk menguruskan kerosakan serta kerja-kerja pembersihan seperti mengalihkan pokok tumbang yang menghalang jalan.
“Pagi ini, saya menerima laporan daripada pelbagai agensi di Seremban dan Port Dickson mengenai kesan ribut malam tadi. Kerajaan negeri telah menggerakkan aset-aset berkaitan bagi memastikan pengurusan bencana berjalan lancar,” katanya.
-FN





