
Laporan/foto: Fasharina Kholil (Pengkalan Hulu)
PENGKALAN HULU, 26 Nov (MalaysiaAktif) – Program Jualan Rahmah (PJR) yang berlangsung di Perkarangan Pejabat Penghulu Belukar Semang, di sini kelmarin memberi manfaat kepada lebih 300 penduduk setempat khususnya komuniti Siam bagi mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih murah berbanding pasaran.

Salah seorang pengunjung meluahkan rasa gembira dengan penganjuran PJR di kawasan itu.
Program yang bertujuan meringankan kos sara hidup itu mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran pengunjung seawal pukul 7 pagi.
Menurut Ketua Komuniti MADANI Belukar Semang Su Khun Din Si In, penganjuran PJR memberi manfaat besar kepada masyarakat yang terkesan dengan kenaikan harga barang sejak kebelakangan ini.
“Penduduk terutamanya masyarakat Siam amat menghargai inisiatif ini kerana ia memberi peluang untuk mendapatkan barangan basah, runcit dan keperluan harian dengan harga jauh lebih murah,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Sekitar suasana PJR.
Antara barangan yang ditawarkan seperti beras, minyak masak, gula, ayam, telur dan produk makanan kering.
“Kami sangat gembira dan bersyukur. Harga yang ditawarkan memang berbaloi dan membantu menjimatkan perbelanjaan harian.
“Semoga program seperti ini diteruskan lagi pada masa akan datang bagi membantu keluarga berpendapatan rendah dan sederhana menikmati manfaatnya secara berterusan,” katanya.
-RI





