
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 28 Nov (MalaysiaAktif) – Latihan Tabletop Kecemasan Menangani Krisis Kebocoran Paip Gas Bagi Talian Gas Labuan Gas Terminal (LGAST) menjadi landasan menguji keupayaan kolektif rakan-rakan strategik yang terlibat.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan Penguasa Kanan Bomba I (PgKB I) Abd Rahman Ali latihan itu bukan hanya simulasi di atas kertas sebaliknya platform yang mengukur keupayaan agensi-agensi yang terlibat dalam sebarang insiden yang tidak dijangka.

Alif Bana semasa (paling kiri) menerangkan sesuatu semasa latihan kecemasan kepada para peserta.
“Ia adalah platform yang mengukur keupayaan kita sebagai rangkaian keselamatan yang saling bergantung untuk berkomunikasi dengan jelas dan tersusun, memahami peranan masing-masing dengan tepat, menyelaras tindakan secara teratur dan konsisten serta membuat keputusan secara profesional di bawah tekanan.
“Kejayaan respons kecemasan bukan hanya bergantung pada prosedur, tetapi pada ketepatan tindakan dan keutuhan kerjasama antara semua pihak yang terlibat,” katanya semasa berucap pada program anjuran PETRONAS Carigali Sdn Bhd, di sini semalam.
Jelasnya, latihan itu bukan sahaja memperkukuhkan budaya keselamatan di peringkat industri malah mencerminkan komitmen PETRONAS dalam mengekalkan standard bertaraf antarabangsa serta kebertanggungjawaban terhadap keselamatan operasi dan komuniti setempat.

Para pemimpin masyarakat turut dilibatkan dalam latihan itu.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik yang hadir pada hari ini atas penglibatan semua kerana keselamatan bukanlah usaha industri semata-mata tetapi ia adalah tanggungjawab bersama yang merangkumi komuniti setempat.
“Kita bukan hanya menilai pelan tindak balas, tetapi memperkukuh asas keselamatan yang menjadi benteng kepada kelangsungan industri dan kesejahteraan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.
Latihan itu disertai pelbagai agensi kerajaan, swasta, pemain industri serta ketua-ketua kampung yang terletak di laluan atau berhampiran laluan LGAST.
-RI





