Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Peningkatan Penerima Bukti Keberkesanan Tabung Kasih HAWANA

By 28 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 28 Nov (MalaysiaAktif) – Penyampaian Sumbangan Tabung Kasih HAWANA kepada Media Tamil menyaksikan seramai 18 penerima menerima bantuan berjumlah RM54,000, sekali gus melengkapkan jumlah keseluruhan 323 penerima bagi tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata peningkatan angka penerima tersebut menunjukkan keberkesanan Tabung Kasih HAWANA sejak ia dilancarkan pada April 2023 sebagai inisiatif membantu pengamal media yang memerlukan.

“Tabung Kasih HAWANA ditubuhkan pada tahun 2023 sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA). Ketika itu, kita mempunyai 28 penerima. Pada 2024, angka tersebut meningkat kepada 229 orang.

Teo ketika ditemu bual wartawan.

“Bagi tahun ini, sasaran awal kita adalah 300 penerima, tetapi sehingga hari ini jumlah itu telah mencapai 323 orang, sekali gus melepasi KPI (Petunjuk Prestasi Utama) yang ditetapkan,” katanya selepas penyerahan sumbangan, di sini hari ini.

Tambahnya, sejak tiga tahun ditubuhkan, tabung berkenaan telah menyalurkan bantuan kepada 580 penerima dengan jumlah keseluruhan sumbangan melebihi RM1.7 juta.

Teo turut memaklumkan peningkatan ketara dalam kalangan penerima daripada media Tamil.

“Pada 2023, hanya seorang penerima daripada media Tamil kerana operasi tabung ketika itu baru bermula setengah tahun. Tahun lalu, jumlah ini meningkat kepada 29 orang, dan tahun ini meningkat lagi kepada 75 penerima.

“Daripada jumlah itu, 18 penerima menerima bantuan pada majlis hari ini,” katanya.

Teo ketika menyerahkan sumbangan Tabung Kasih HAWANA kepada salah seorang wartawan Media Tamil.

Mengulas mengenai kriteria pemilihan penerima, Teo menjelaskan bahawa proses saringan dibuat sepenuhnya oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) selaku urus setia.

“Kita menerima permohonan melalui pelbagai saluran termasuk pejabat saya, Pejabat Yang Berhormat Menteri dan Pejabat KSU (Ketua Setiausaha). Semua permohonan diserahkan kepada BERNAMA untuk disaring dengan telus dan menyeluruh.

“Ada penerima yang menghadapi masalah kesihatan, ada yang kehilangan pekerjaan dan ada juga yang berdepan kesukaran lain,” katanya.

Beliau berkata sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan di bawah Tabung Kasih HAWANA boleh menghubungi urus setia BERNAMA pada bila-bila masa bagi tujuan permohonan dan semakan kelayakan.

Turut hadir KSU Kementerian Komunikasi (KK) Datuk Abdul Halim Hamzah, Timbalan KSU (Infrastruktur Telekomunikasi) Mano Verabathran, Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA Datin Paduka Nur-ul Afida serta pegawai kanan KK.

-RI

Tinggalkan komen anda