
Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Kedah)
ALOR SETAR, 4 Nov (MalaysiaAktif) – Restoran Mee Sham Roti Doll di Jalan Gunung Keriang terus menjadi tumpuan penggemar makanan tempatan berikutan keunikan menu roti doll dan mee sham yang digemari ramai.

Menu popular di Restoran Mee Sham Roti Doll.
Terletak berhampiran kawasan pelancongan Gunung Keriang, lokasi strategik restoran ini menjadikannya pilihan pengunjung dari dalam dan luar negeri.
Keistimewaan utamanya ialah resipi istimewa yang dikekalkan sejak lebih 15 tahun lalu iaitu roti doll yang dihidangkan bersama kuah kari pekat dan telur mata lembut di atasnya.
Selain itu, menu mee sham turut menjadi antara pilihan utama pelanggan kerana rasanya yang unik dan berbeza daripada mee goreng biasa.

Restoran Mee Sham Roti Doll di Jalan Gunung Keriang antara restoran yang popular di Alor Setar.
“Setiap kali datang ke Alor Setar, saya pasti singgah makan di sini. Kuahnya memang lain daripada yang lain dan harganya berpatutan,” kata seorang pelanggan, Azizah Dahman, 60, ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini semalam.
Restoran yang sentiasa dipenuhi pelanggan ini membuktikan bahawa makanan tradisional tempatan mampu menjadi daya tarikan pelancongan.
Dengan keaslian resipi dan layanan mesra, Mee Sham Roti Doll kekal sebagai antara destinasi wajib singgah di Alor Setar.
-RI





