Skip to main content
Berita UtaraBerita TempatanKedah

Muzium Padi Kedah Destinasi Interaktif Warisan Jelapang Padi Malaysia

By 4 November 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar (Kedah)

ALOR SETAR, 4 Nov (MalaysiaAktif) – Muzium Padi Kedah di kaki Gunung Keriang, di sini menjadi destinasi interaktif yang mengetengahkan warisan dan keunikan penanaman serta penuaian padi, melambangkan identiti negeri ini sebagai negeri Jelapang Padi Malaysia.

Dibina dengan reka bentuk unik menyerupai pucuk padi gergasi, muzium di bawah kelolaan Perbadanan Muzium Negeri Kedah ini bukan sekadar ruang pameran, tetapi juga sebagai pusat ilmu yang mendidik pengunjung tentang perjalanan sejarah, budaya dan teknologi berkaitan tanaman padi.

Ruang pameran yang mempamerkan maklumat mengenai penanaman padi.

Melalui pameran interaktif dan koleksi artifak tradisional, pengunjung dapat menyelami kehidupan masyarakat sawah serta memahami evolusi pertanian padi dari zaman tradisional hingga era moden.

Menurut Penolong Kurator Muzium Padi Kedah Rahimah Mat, muzium ini berperanan penting dalam memperkenalkan sejarah dan budaya pertanian kepada masyarakat, selain memupuk rasa bangga terhadap warisan tempatan.

“Muzium Padi Kedah bukan sekadar tempat pameran, tetapi wadah pendidikan yang membantu generasi baharu mengenali asal-usul kehidupan masyarakat sawah di Kedah. Kami mahu pengunjung bukan hanya melihat, tetapi juga merasai pengalaman dan nilai yang diwarisi turun-temurun,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini semalam.

Muzium ini menempatkan dua tingkat ruang pameran utama yang memperincikan aspek penanaman, penuaian dan pemprosesan padi, selain satu tingkat khas yang menempatkan platform berputar panorama 360 darjah.

Dari platform ini, pengunjung berpeluang menikmati pemandangan indah sawah menghijau dan persekitaran semula jadi Gunung Keriang yang menjadi latar penting kepada warisan pertanian Kedah.

Tingkat dua menempatkan ruangan lukisan pemandangan sekitar Gunung Keriang.

Selain pameran tetap, Muzium Padi Kedah turut menganjurkan aktiviti kebudayaan seperti permainan kampung tradisi, pertandingan layang-layang dan demonstrasi permainan gasing yang menghidupkan semula suasana desa.

Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menghiburkan, malah memperkenalkan nilai warisan tempatan kepada generasi muda dan pelancong luar.

Melalui pelbagai segmen pameran, pengunjung turut diperkenalkan kepada jenis-jenis beras tempatan serta proses penanaman dan pemprosesan padi daripada kerja di petak sawah hingga kepada beras siap dimakan.

Maklumat ini penting dalam memahami bagaimana tanaman padi membentuk asas kepada ekonomi, budaya dan gaya hidup masyarakat Kedah.

Keseluruhannya, Muzium Padi Kedah bukan sekadar lokasi pelancongan, tetapi turut berperanan sebagai medan ilmu yang memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap kepentingan tanaman padi dalam kehidupan seharian, seiring dengan usaha negeri Kedah mengekalkan warisan pertanian serta memperkukuh identiti sebagai pengeluar beras utama negara.

-RI

Tinggalkan komen anda