Skip to main content
Berita TempatanSabah

Penyaram Satukan Budaya: Usahawan Cina Kekal Warisan Kuih Tradisional Sabah

By 11 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abd. Rahim (Penampang)

PENAMPANG, 11 Nov (MalaysiaAktif) – Kuih penyaram atau lebih dikenali sebagai peniaram sememangnya antara makanan tradisional popular di Sabah, khususnya dalam kalangan masyarakat Bajau.

Namun, di Tamu (pasar tani) Donggongon, keunikannya semakin terserlah apabila kuih tradisi itu dihasilkan dan dijual oleh seorang lelaki tempatan berbangsa Cina.

Nathan ketika memasak kuih penyaram hasil tangannya di Tamu Donggongon, Penampang pada Ahad sambil membuat sesi siaran langsung di media sosial.

Nathan Yong Konwing, 39, berasal dari Penampang, sebenarnya telah meneruskan legasi keluarganya dalam pembuatan kuih penyaram yang diwarisi daripada bapanya sejak puluhan tahun lalu.

“Saya ini generasi kedua sudah. Dulu bapa yang buat, dan memang ini adalah perniagaan keluarga di tamu ini sahaja sebab kami pun orang Penampang,” katanya ketika ditemui di Tamu Donggongon, di sini pada Ahad.

Menurut Nathan, walaupun kuih itu sinonim dengan masyarakat Bajau dan Melayu, beliau tidak melihat perbezaan kaum sebagai penghalang untuknya meneruskan warisan makanan tradisi tersebut.

“Saya pun tidak sangka juga sebab sini saya sudah biasa. Suatu ketika semasa saya bersiaran langsung di dalam media sosial, ada beberapa pengikut memberitahu penyaram adalah kuih tradisi yang selalunya kaum Bajau ataupun Melayu yang buat.

“Kalau saya tidak buat, tiada orang teruskan (pembuatan kuih) ini. Kalau kita tidak teruskan, memang tidak ada penyambung warisan ini. Kalau mahu masak kuih ini memang susah sikit sebab ini perlu ada kemahiran. Banyak orang buat sendiri tapi tidak jadi. Tapi saya sudah biasa membuatnya,” ujarnya.

4. Veronica ketika singgah di gerai Nathan membeli kuih penyaram kegemarannya.

Nathan yang berniaga setiap Khamis dan Ahad di Tamu Donggongon berkata, kuih penyaramnya dijual dalam dua perisa iaitu pandan dan gula merah pada harga seringgit sebiji.

Seorang pelanggan tetap, Veronica Victor, 57, berkata kuih penyaram hasil tangan Nathan sesuai dengan selera dan keluarga yang tidak terlalu manis.

“Tiap kali saya ke tamu, pasti saya singgah sini untuk membeli. Sekiranya tidak berkesempatan, menantu pasti akan membelikannya untuk kami. Kuih penyaram Nathan rasanya sedap dan tidak terlalu manis. Sesuailah kerana kita pun kena jaga juga gula kan.

“Kuih tradisi ini sesuai dinikmati oleh semua kaum, sekali gus menunjukkan bahawa makanan boleh menyatukan masyarakat tanpa mengira bangsa,” ujarnya.

-RI

Tinggalkan komen anda