
Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 11 Nov (MalaysiaAktif) – Suasana Kampung Permatang Pasir bertukar meriah apabila Program Jaguh Kampung bertemakan ‘Orang Dulu-Dulu’ berjaya menghimpunkan penduduk setempat untuk bersama-sama mengimbau kehidupan masyarakat tradisional melalui pertandingan masakan dan busana klasik yang diadakan, di sini kelmarin.

Pemerisaan kesihatan juga mendapat sambutan yang baik daripada para pengunjung.
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Kedah Ahmad Fuad Yunus, menyifatkan program tersebut sebagai wadah penting untuk memupuk semangat perpaduan dan mengekalkan warisan budaya masyarakat Melayu lama.
“Program seperti ini mengingatkan kita kepada cara hidup masyarakat terdahulu yang saling membantu, berkumpul dan bergembira dalam suasana harmoni. Ia perlu terus diperkasakan agar nilai perpaduan dapat diwarisi oleh generasi muda,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian.
Program seawal pukul 8 pagi itu dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta sebelum pertandingan masakan tradisional seperti Gulai Ikan Kembung dan Kerabu Jantung Pisang serta pertandingan pakaian ‘Orang Dulu-Dulu’ bagi kategori dewasa dan kanak-kanak.
Busana klasik seperti kebaya lama kain batik dan baju melayu tradisional digayakan dengan penuh bergaya diiringi muzik retro yang menghidupkan suasana nostalgia zaman dahulu.

Ahmad Syauqi Abrar Saifuddin, berpendapat walaupun hanya tempat ketiga, tapi pengalaman ini sangat bermakna kerana mengembalikan suasana nostalgia dulu-dulu.
Antara yang mencuri perhatian ialah Ahmad Syauqi Abrar Saifuddin, 41, pemenang tempat ketiga pertandingan memasak.
“Saya masak gulai ikan termenung hari ini. Walaupun hanya tempat ketiga tapi pengalaman ini sangat bermakna. Suasana betul-betul macam orang dulu busana tradisional muzik klasik dan penduduk kampung semua bersatu hati. Memang rasa meriah,” katanya.
Selain pertandingan, program turut diserikan dengan cabutan bertuah, pemeriksaan kesihatan percuma, penukaran minyak hitam kenderaan, reruai pameran agensi kerajaan serta pertandingan Gerai Tercantik yang menarik perhatian pengunjung.
Secara keseluruhannya program Jaguh Kampung ‘Orang Dulu-Dulu’ bukan sahaja menghiburkan malah berjaya menghidupkan kembali semangat kekitaan dan kecintaan terhadap warisan tradisional sekali gus memperkukuh perpaduan komuniti di Kampung Permatang Pasir.
-RI





