
Laporan/ foto: Zayana Isa (Pahang)
KUANTAN, 2 Nov (MalaysiaAktif) – Persembahan teater Pelanduk Terakhir menjadi naskah yang mengangkat warisan tarian tradisional negeri Pahang.

Datuk Fizz Fairuz tidak mengecewakan penonton dengan membawakan watak sebagai Mahdi
Menampilkan barisan pelakon popular tanah air seperti Datuk Fizz Fairuz, Datuk Razak Ahmad, Liza Abdullah dan barisan pelakon tempatan, teater ini membawa mesej bahawa Tarian Pelanduk yang merupakan tarian tradisional dari daerah Lipis perlu diwarisi agar tidak luput ditelan zaman.
Salah seorang penonton ketika ditemui Hazwani Jamili, 37, berkata tayangan teater Pelanduk Terakhir ini benar-benar membuka matanya tentang betapa luasnya budaya negara kita yang semakin dilupakan.

Tarian Pelanduk oleh pelajar SK Tunku Azizah yang turut menyertai persembahan teater Pelanduk Terakhir mencuit hati penonton
“Seni budaya seperti ini masih belum mendapat promosi yang selayaknya. Pelbagaikanlah dan perkembangkan tayangan seni budaya kerana saya yakin masih ramai masyarakat di Malaysia yang sayang dan mahukan seni budaya kita sentiasa hidup,” katanya yang berpuas hati menonton persembahan teater tersebut.
Pelanduk Terakhir mula dipentaskan pada 31 Oktober hingga hari ini di Auditorium Jabatan Keseniaan dan Kebudayaan Negeri Pahang, di sini.
-AA-





