Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Suasana Damai Tepian Sungai Tarik Pengunjung Bersarapan di Gerai Bang Jo

By 18 November 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)

PENDANG, 18 Nov (MalaysiaAktif) – Suasana desa yang tenang berlatar belakangkan aliran sungai menjadikan Gerai Bang Jo Roti Canai di Kampung Belat, Mukim Rambai destinasi pilihan pengunjung untuk bersarapan sejak ia dibuka pada 2020.

Antara menu yang disajikan di Gerai Bang Jo Roti Canai.

Menurut pemiliknya, Johari Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Bang Jo, 58, gerai yang diusahakan ini pada asalnya beroperasi di kampung sama selama 20 tahun sebelum berpindah ke tapak baharu berdekatan rumah dan kawasan sungai dengan menggunakan modal simpanannya untuk menambak tanah serta membina premis.

“Walaupun hanya lima tahun beroperasi di lokasi baharu, sambutan yang diterima amat menggalakkan bukan sahaja daripada penduduk setempat, malah turut menarik perhatian pelancong dari negeri lain seperti Johor dan Selangor.

“Buat masa ini saya hanya berniaga waktu pagi sahaja, tetapi insya-Allah jika rezeki bertambah, saya mahu tambah menu dan lanjutkan waktu operasi,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, baru-baru ini.

Bang Jo turut merancang untuk menambah hidangan tengah hari dan minum petang bagi meluaskan lagi pilihan makanan serta memenuhi permintaan pelanggan.

Antara para pengunjung Gerai Bang Jo Roti Canai.

Keunikan gerai ini terletak pada suasana damai kampung yang membolehkan pengunjung menikmati sarapan sambil mendengar deruan air sungai dan kicauan burung, sekali gus memberikan pengalaman bersarapan yang menenangkan.

Gerai yang mampu menampung sehingga 50 orang pelanggan pada satu-satu masa itu beroperasi pada setiap hari kecuali Rabu bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari dengan menu utama seperti roti canai, nasi lemak dan kuih-muih tradisional.

Dengan keunikan suasana semula jadinya, Gerai Bang Jo Roti Canai terus menjadi tumpuan orang ramai yang mencari pengalaman sarapan yang damai, ringkas dan menyegarkan di tepian sungai.

-RI

Tinggalkan komen anda