
Laporan/foto: Sharil Alias/Khairul Nizam (Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 6 Dis (MalaysiAktif) – Belanjawan Negeri Sembilan 2026 berjumlah RM640 juta dengan tema ‘Belanjawan MADANI, Rakyat Harmoni berjumlah RM640 juta menjadi bukti komitmen kerajaan negeri meningkatkan kebajikan rakyat serta kesinambungan pembangunan.

Suasana Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ke-15, di sini semalam berkata kejayaan negeri merekodkan lebihan (surplus) empat tahun berturut-turut sejak 2022 membuktikan keberkesanan pengurusan kewangan berhemah.
“Tahun 2026 menjadi titik pemula yang mengukuhkan kedudukan Negeri Sembilan sebagai negeri mampan dan maju,” katanya.
Sebanyak 69 inisiatif digerakkan merangkumi pendidikan, komuniti, kerohanian, wanita dan belia, pelancongan serta kelestarian alam sekitar.

Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sembilan menyokong Belanjawan Negeri Sembilan 2026.
Skim Sejahtera Rakyat (SSR) diteruskan dengan peruntukan RM29.75 juta, manakala peruntukan pembangunan negeri berjumlah RM150 juta meliputi enam sektor utama.
Kerajaan negeri turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) antara dua hingga tiga bulan gaji kepada penjawat awam, dibayar pada Januari, sebelum Aidilfitri dan Jun tahun hadapan.
“Belanjawan ini bukan sekadar angka, tetapi usaha bersama demi kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
-RI





