Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Dana Inovasi Media Percepat Transformasi Industri Media

By 18 Disember 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)/Facebook Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 18 Dis (MalaysiaAktif) – Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini mengumumkan fasa 1 Dana Inovasi Media akan dibuka mulai 1 Januari sehingga 14 Januari tahun hadapan.

Beliau berkata dana berkenaan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI bagi mempercepat transformasi industri media supaya kekal relevan, berdaya saing dan berdaya tahan.

“Susulan pengumuman YAB Perdana Menteri (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) sempena sambutan Hari Wartawan Nasional atau HAWANA pada tahun ini berhubung pemberian bantuan dana berjumlah RM30 juta,” katanya pada Sidang Media Mingguan Kerajaan MADANI, di Lobi Auditorium Seri Angkasa, Kompleks Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur, hari ini

Fahmi, berkata dana berkenaan menyasarkan empat matlamat utama iaitu menggalakkan penghasilan kandungan media yang kreatif, interaktif dan berimpak tinggi serta memperkasa kompetensi pengamal media melalui latihan.

“Ia juga menyokong transformasi industri media melalui pembangunan projek inovatif merangkumi aspek kandungan, teknologi media dan strategi digital selain untuk memperkukuh daya saing organisasi media dalam menyampaikan maklumat yang tepat, relevan dan bermanfaat kepada rakyat,” katanya.

Jurucakap Kerajaan MADANI itu juga turut memaklumkan penyaluran dana tersebut akan dilaksana secara berintegriti dan berkesan melalui syarat yang dikenakan iaitu pemohon mestilah terdiri daripada syarikat atau organisasi media tempatan selain perlu berdaftar dengan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan memegang kad perakuan media yang aktif.

Beliau berkata dana berkenaan meliputi empat skop iaitu latihan kepada pekerja media di mana pemohon boleh memilih sama ada melaksanakan latihan dalaman (in-house screening) atau menghantar pekerja menjalani kursus anjuran pihak luar atau kedua-duanya sekali.

“Kedua, perisian dan adaptasi teknologi. Dana sejumlah RM30 juta ini boleh dimanfaatkan untuk pembelian atau sewaan perisian yang diperakukan bagi penghasilan kandungan berkualiti tinggi, selarasan dengan perkembangan pesat teknologi media di peringkat global termasuk dalam memanfaatkan kecerdasan buatan (AI).

“Ketiga, peralatan, perkakasan dan kemudahan sokongan. Dana ini juga boleh dimanfaatkan bagi pembelian atau sewaan peralatan teknikal termasuk perkakasan, peralatan studio dan peralatan rakaman yang menyokong penghasilan kandungan berkualiti tinggi,” katanya.

Bagi skop terakhir, Fahmi berkata ia melibatkan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) penghasilan kandungan.

“Dana Inovasi Media ini turut menyokong aktiviti R&D termasuk adaptasi teknologi kecerdasan buatan dan inovasi digital terkini,” katanya sambal menambah fasa seterusnya akan diumumkan kelak bergantung kepada sebarang keperluan.

Beliau berkata pengamal media boleh melayari laman sesawang http://www.komunikasi.gov.my bermula 1 Januari tahun hadapan bagi mendapatkan maklumat lanjut.

-RI

Tinggalkan komen anda