Skip to main content
Berita TempatanSabah

Disiplin, Kredibiliti Kunci Kejayaan Usahawan Digital Sabah

By 6 Disember 2025Disember 8th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Akmal Ibrahim (Penampang)

PENAMPANG, 6 Dis (MalaysiaAktif) – Fenomena usahawan digital membuka peluang baharu buat Roslinda Matthew menceburi bidang keusahawanan sekali gus menjadi inspirasi kepada pengikut media sosialnya di Sabah.

Kredibiliti dijaga, disiplin diutamakan, rahsia kejayaan Roslinda Matthew.

Mula menceburi bidang usahawan digital sejak September 2022, peluang keemasan itu digunakan sebaiknya oleh wanita berusia 33 tahun ini dengan memanfaatkan platform media sosial seperti TikTok untuk menjana pendapatan sampingan.

“Inspirasi saya bermula bila ternampak satu video produk. Bila saya tekan rupanya ada komisen. Dari situ saya terfikir tidak perlu urus stok atau jumpa orang. Saya cuma jadi orang tengah macam dropship, kongsi pautan, terus dapat komisen.

“Kebanyakan produk yang saya ulas saya sendiri gunakan. Pernah juga saya tolak produk mahal kerana tidak mahu orang beli hanya sebab percaya pada saya. Imej saya tetap jadi keutamaan,” katanya ketika ditemu bual secara langsung dalam program iNSPO anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Sabah di sini Khamis lepas.

Jelas Linda, dengan disiplin yang tinggi, sifat itu menjadi kunci kejayaan dalam dunia usahawan digital yang memastikannya kekal konsisten dengan jadual harian dan rutin yang ditetapkan.

“Untuk kekal konsisten, kita kena ada disiplin. Paling mudah, ikut jadual. Motivasi boleh datang dan pergi, tapi disiplin memastikan kita terus konsisten.

“Saya selalu ikut kelas sama ada percuma ataupun berbayar dan baca buku untuk belajar strategi pemasaran di TikTok. Ilmu penting untuk tingkatkan diri,” katanya.

Biarpun setahun jagung dalam bidang tersebut, beliau menasihati mereka yang baru berjinak-jinak supaya berani untuk memulakan langkah sebagai usahawan digital dan tidak putus asa walaupun hasil tidak seperti yang dirancang.

“Bagi yang baru nak bermula sebagai usahawan digital, kita mesti berani, tetap kekal berdisiplin, fokus kepada satu bidang sahaja dahulu selain menjaga kredibiliti dalam setiap video yang dihasilkan dan sentiasa perbaiki cara kerja.

“Mulakan sahaja dulu. Kalau malu, tunjuk produk saja. Saya pernah mengalami kerugian apabila pautan produk yang saya hasilkan hilang iaitu video saya yang tular di “For Your Page” (FYP) dengan lebih 3 juta tontonan. Saya tak boleh kawal produk, walaupun video sudah masuk FYP. Ramai orang nak beli, tapi saya tetap rugi,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda