Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPutrajaya

MyLesen B2 2026: 30,000 Peluang Lesen Motosikal Percuma Untuk Belia, B40

By 6 Disember 2025Disember 16th, 2025Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Faizal Nazmi/JPJ

PUTRAJAYA, 6 Dis (MalaysiaAktif) – Sebagai usaha berterusan kerajaan dalam memperkasa mobiliti rakyat serta membuka lebih banyak peluang kepada golongan belia dan keluarga berpendapatan rendah (B40) memiliki lesen memandu yang sah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meneruskan Program MyLesen B2 bagi tahun hadapan, iaitu sebuah inisiatif yang menawarkan pembiayaan penuh bagi mendapatkan lesen motosikal kelas berkenaan.

Inisiatif Kerajaan MADANI pada tahun hadapan ini membuka peluang kepada 30,000 individu yang layak bertujuan memperkasa golongan kurang berkemampuan, khususnya pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi dan belia untuk mendapatkan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 sebagai persediaan sebelum menempuhi alam pekerjaan dan mempertingkat keselamatan jalan raya dengan tanggungan sepenuhnya oleh kerajaan.

Pendaftaran inisiatif ini menjadi antara daya penarik orang ramai berkunjung ke reruai JPJ sempena program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku yang bermula semalam sehingga esok di Dataran Putrajaya, di sini dengan tumpuan kepada pemerkasaan ekonomi, akses perkhidmatan serta keselamatan rakyat.

JPJ dalam satu perkongsian memaklumkan inisiatif ini akan dilaksanakan bermula Mac hingga Oktober tahun hadapan.

Bagaimanapun, pendaftaran awal melalui borang atau kod QR tidak menjamin pemilihan automatik kerana setiap permohonan perlu melalui proses saringan ketat berdasarkan syarat penyertaan yang telah ditetapkan demi memastikan objektif memperkasa keselamatan jalan raya dapat dipenuhi melalui pemilihan peserta yang benar-benar layak dan dilaksanakan tanpa menjejaskan integriti program.

JPJ menegaskan bahawa hanya pemohon yang layak dan melepasi saringan sahaja akan dihubungi oleh jabatan berkenaan di peringkat negeri untuk pendaftaran di Institut Memandu (IM) yang ditentukan.

Antara syarat yang dikenakan ialah program ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia daripada kumpulan B40 dan tanggungan yang berumur sekurang-kurangnya 16 tahun pada 1 Januari tahun hadapan serta belum pernah memiliki sebarang lesen memandu.

Peserta juga katanya perlu sihat secara fizikal dan mental serta bebas daripada sebarang senarai hitam mahkamah, JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam pada itu, keutamaan turut diberikan kepada anggota Kadet JPJ, pelajar sekolah serta pelajar institusi pengajian tinggi dan mereka yang dipilih perlu komited untuk mengikuti keseluruhan latihan, sesi teori, amali dan ujian memandu mengikut jadual yang ditetapkan oleh JPJ dan IM.

Walaupun kos pembiayaan bagi latihan, kelas teori, amali dan ujian memandu ditanggung sepenuhnya, peserta perlu menampung sendiri kos pengangkutan ke IM serta apa-apa kos tambahan lain yang tidak termasuk dalam pakej.

Dari segi proses, peserta akan memulakan permohonan melalui kod QR sebelum disaring oleh JPJ sebelum peserta yang terpilih akan didaftarkan di IM untuk mengikuti Kursus Teori KPP01 selama enam jam diikuti ujian teori KPP01 sebelum melayakkan mereka menerima Lesen L (LDL).

Peserta seterusnya akan menjalani latihan praktikal KPP02 dan KPP03 masing-masing selama 9.5 jam dan enam jam sebelum menjalani sesi pra-ujian. Setiap peserta kemudiannya akan menduduki ujian praktikal JPJ dan setelah lulus mereka akan menerima Lesen P (PDL) sebagai lesen memandu rasmi kelas B2.

Dalam pada itu, JPJ turut memaklumkan lebih 15,000 peserta inisiatif berkenaan berjaya mendapatkan lesen memandu motosikal B2 secara percuma melalui peruntukan kerajaan berjumlah RM5.2 juta, pada fasa pertama tahun ini.

Melihat sambutan yang sangat memberangsangkan, kerajaan telah mengumumkan berita gembira iaitu penambahan 10,000 lagi kuota baharu mulai Ogos lepas bagi memenuhi permintaan tinggi rakyat di seluruh negara menjadikan keseluruhan 25,000 peluang pada tahun ini.

Inisiatif ini bukan sahaja selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memperluas akses mobiliti dan meringankan beban kewangan isi rumah B40, malah turut menyokong usaha meningkatkan keselamatan jalan raya melalui pematuhan undang-undang oleh pemandu yang berlesen dan terlatih.

Tinggalkan komen anda