
Laporan/foto: Khairul Nizam (Negeri Sembilan)
KUALA PILAH, 15 Dis (MalaysiAktif) – Majlis Penutupan Rasmi Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) 2025 telah berlangsung dengan jayanya di Perkampungan Budaya Terachi, di sini kelmarin.
Majlis disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Mohd Shaiful Ibrahim itu turut dihadiri barisan pengurusan tertinggi JPA, rakan strategik serta wakil jabatan dan agensi peringkat persekutuan, negeri dan daerah, sekali gus mencerminkan semangat kerjasama bersepadu dalam menjayakan agenda Malaysia MADANI.

Mohd Shaiful Ibrahim mewakili Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam menyampaikan ucapan.
Mohd Shaiful yang ketika membaca teks ucapan sewaktu mewakili Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menegaskan pelaksanaan Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI bukan sekadar inisiatif pembangunan fizikal, malah menjadi wadah memperkukuh hubungan antara penjawat awam dan komuniti setempat secara lebih menyeluruh dan bermakna.

Antara aktiviti menarik di Perkampungan Budaya Terachi.
“Kejayaan program ini membuktikan bahawa pendekatan kerjasama strategik antara kerajaan dan masyarakat mampu melahirkan impak berterusan selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan kemampanan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak lapan projek infrastruktur telah berjaya disiapkan dengan peruntukan berjumlah RM1.146 juta, manakala pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI buat julung kali pada tahun 2025 merupakan cetusan inspirasi Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
-RI





