Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Pembangunan Semula Kampung Indian Settlement Batu Caves Diteruskan Selepas Thaipusam

By 15 Disember 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang

GOMBAK, 15 Dis (MalaysiaAktif) – Projek pembangunan semula Indian Settlement Batu Caves akan diteruskan dan disasarkan bermula selepas Thaipusam, kata Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari.

Menurut beliau, pertemuan bersama penduduk kawasan berkenaan khususnya melibatkan 44 keluarga yang terkesan dengan pembinaan jalan bagi projek itu menunjukkan persetujuan secara asas tanpa sebarang bantahan terhadap pelaksanaan pembangunan.

Amirudin ketika ditemui media selepas Sesi Libat Urus Pembangunan Semula Kampung Indian Settlement Batu Caves hari ini.

“Cuma ada beberapa isu yang perlu dimuktamadkan. Kita sasarkan semuanya dapat diselesaikan dalam tempoh sebulan. Sebelum Thaipusam, perbincangan akan diteruskan dan selepas perayaan itu kita akan mula bina infrastruktur.

“Ini akan beri nafas baharu kepada Indian Settlement yang sudah lama menunggu pembangunan semula dengan penempatan yang sah dan lebih adil,” katanya kepada media selepas Sesi Libat Urus Pembangunan Semula Kampung Indian Settlement Batu Caves di Pejabat Daerah Gombak hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak menegaskan projek itu perlu diteruskan kerana tanpa perubahan, kawasan tersebut tidak akan berkembang.

“Kita memang perlu buat perubahan dan projek ini mesti diteruskan,” katanya.

Amirudin dan penduduk terlibat ketika Sesi Libat Urus Pembangunan Semula Kampung Indian Settlement Batu Caves di Pejabat Daerah Gombak.

Amirudin berkata beliau turut menjemput wakil penduduk termasuk Waythamoorthy (peguam) bagi menerangkan latar belakang dan situasi sebenar projek, dan kebanyakan penduduk memahami keadaan semasa dengan hanya beberapa perkara perlu disahkan.

“Antara isu lain ialah sewaan sementara dan pembangunan semula. Saya akan kemukakan cadangan baharu supaya penduduk mendapat pembelaan serta sokongan daripada kerajaan negeri,” katanya.

Jelasnya, kawasan terlibat dikenal pasti sebagai rezab jalan sejak tahun 1950-an dan 1960-an, dan perkara itu telah disahkan oleh pihak berkaitan.

Tambahnya, projek bernilai kira-kira RM10 juta itu bertujuan menempatkan semula rumah dan lot kediaman memandangkan terdapat penduduk yang mendiami lot yang bukan milik asal mereka.

“Kerajaan negeri sedang menangani isu ini termasuk usaha menyusun semula penempatan sejak 2009 supaya penduduk ditempatkan di lot yang sepatutnya,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda