
Laporan/foto: Siti Hajar Kamis
SEREMBAN, 2 Dis (MalaysiaAktif) – Program Kempen Internet Selamat oleh Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Temiang terus dipergiat bagi memastikan masyarakat memahami tentang keselamatan siber dalam kehidupan seharian.

Pengurus NADI sedang memberi taklimat.
Pengurusnya, Nur Halimatun Nazira Hasan berkata sesi pada hari ini itu memberi tumpuan kepada warga emas yang merupakan antara golongan paling terdedah kepada penipuan siber.
“Golongan warga emas perlu diberi tumpuan kerana mereka sering menjadi sasaran utama penipuan dan taktik manipulasi siber.
“Justeru, peserta didedahkan dengan cara mengenal pasti tanda-tanda scam (penipuan) teknik melindungi maklumat peribadi serta kepentingan menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi,” katanya di sini hari ini.

Antara peserta Kempen Internet Selamat.
Peserta Rostam Bumin, 65, berkata penerangan menerusi program tersebut benar-benar membuka matanya mengenai kepelbagaian teknik penipuan digunakan oleh scammer.
“Program seperti ini sangat membantu dan membuatkan kami lebih berhati-hati apabila menerima mesej atau panggilan mencurigakan,” katanya.
Selain ceramah, sesi soal jawab dan pemeriksaan kesihatan juga turut diadakan untuk peserta yang hadir.
-RI





