
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
HULU KELANG, 11 Dis (MalaysiaAktif) – Isu penempatan setinggan di Kampung Fajar dan Kampung Warisan di sini akhirnya menemui jalan penyelesaian secara menang-menang apabila penduduk ditawarkan unit kediaman baharu dengan harga lebih rendah daripada pasaran.
Penduduk terlibat akan menerima tawaran rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi bernilai RM200,000 berbanding harga asal RM229,500, menerusi dua kaedah pembiayaan iaitu pinjaman institusi kewangan atau skim sewa beli.

Penduduk tekun mendengar penjelasan agensi semasa Sesi Libat Urus Pembangunan dan Penempatan Semula Kampung Fajar dan Kampung Warisan Bersama Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pendekatan itu memberi peluang kepada penduduk untuk memiliki kediaman lebih selesa dan terjamin, selain memastikan penyelesaian isu setinggan dilaksanakan secara inklusif tanpa menjejaskan kebajikan rakyat.
“Harga asal rumah berkenaan adalah sekitar RM229,500, namun kerajaan negeri bersetuju menurunkannya kepada RM200,000 bagi memastikan ia lebih mampu milik, khususnya kepada penduduk berpendapatan rendah dan warga emas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Libat Urus Pembangunan Semula Kampung Fajar dan Kampung Warisan bersama penduduk di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati, semalam.
Katanya, dua kaedah pemilikan ditawarkan iaitu pembelian secara pinjaman bank bagi mereka yang berkemampuan, atau melalui skim sewa beli (rent-to-own) di bawah kendalian kerajaan negeri.
“Menerusi skim sewa beli, penduduk hanya perlu membayar deposit RM2,000 selepas rumah siap, diikuti bayaran sewa bulanan pada kadar munasabah.

Amirudin bergambar bersama penduduk Kampung Fajar dan Kampung Warisan yang hadir semasa sesi Libat Urus semalam.
“Bayaran itu akan dikira sebagai bayaran pemilikan sehingga cukup nilai RM200,000 dan rumah tersebut akhirnya menjadi milik mereka sepenuhnya,” katanya.
Tambah beliau, sepanjang tempoh sewa beli, rumah terbabit tidak boleh dijual atau digadai sehingga bayaran penuh diselesaikan, bagi memastikan matlamat asal membantu penduduk setempat benar-benar tercapai.
Menurutnya, kerajaan negeri akan memperuntukkan kira-kira RM60 juta bagi membangunkan projek perumahan tersebut yang dijangka siap dalam tempoh 24 hingga 36 bulan, melibatkan pembinaan rumah pangsapuri atau apartmen berkeluasan 1,000 kaki persegi.
Beliau berkata kerajaan negeri bersedia memulakan pelaksanaan projek pembinaan seawal Jun atau Julai tahun hadapan sekiranya penduduk yang terlibat memberikan kerjasama dan bersetuju dengan proses pemindahan secara sukarela.
“Lagi cepat penduduk bersedia untuk bekerjasama, lagi cepat projek ini boleh dimulakan dan disiapkan.
“Hasrat kita jelas, untuk menamatkan isu setinggan yang berlarutan dan memastikan penduduk Kampung Fajar serta Kampung Warisan akhirnya memiliki kediaman sah, selesa dan terjamin,” ujarnya.
-RI





