
Laporan/Foto: Abg Hairman Abg Fauzi (Sarawak)
KOTA SAMARAHAN, 11 Dis (MalaysiaAktif) – 63 koperasi di Samarahan diseru untuk lebih proaktif menghasilkan produk pertanian yang mempunyai permintaann tinggi di pasaran tempatan dan global.
Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee berkata tumpuan khusus wajar diberikan golongan berkenaan dalam ilmu pengurusan agropelancongan, pemasaran dan dan perkhidmatan pelanggan.
“Selain itu, digalakkan juga untuk mengenal pasti potensi unik di kawasang masing-masing untuk dijadikan produk agropelancongan yang kompetetif,” katanya.

Ucapan perasmian oleh Rodiyah Sapiee yang menggesa koperasi di Samarahan memanfaatkan potensi agro tourism sebagai pemangkin baharu pembangunan sosioekonomi.
Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Sarawak berkata demikian ketika merasmikan Program Agro Tourism anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sarawak di Agro Farm Koperasi Sungei Marong Agro Farm Samarahan Berhad, di sini kelmarin.
Program dua hari itu yang disertai 30 koperator di bawah seliaan SKM Cawangan Samarahan menjadi platform untuk meningkatkan kerjasama dalam kalangan ahli koperasi serta mengenal pasti potensi koperator bagi mengukuhkan gerakan koperasi di peringkat daerah.
Ia juga bertujuan memperkasakan aktiviti ekonomi koperasi melalui penglibatan dalam agropelancongan selain menggalakkan kerjasama strategik antara ahli koperasi dan pemain industri pertanian serta pelancongan bagi memperkukuh rangkaian perniagaan koperasi.

Rodiyah Sapiee meninjau persekitaran Koperasi Agro Farm Sungei Marong Samarahan Berhad bagi melihat lebih dekat potensi agro pelancongan yang boleh diperkasakan.
Penganjuran ini juga merupakan salah satu elemen di bawah inisiatif SKM Sarawak yang memberi penekanan kepada peningkatan visibiliti koperasi sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi masyarakat.
-RJ-





