
Laporan/foto: Norshazila Ahmad/Hazlina Tajuddin (Selangor)
SHAH ALAM, 11 Dis (MalaysiaAktif) – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berkenan mengurniakan darjah dan bintang kebesaran kepada 98 individu Sempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda yang ke-80, hari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dalam kenyataan media semalam berkata 38 individu menerima darjah dan bintang kebesaran yang membawa gelaran iaitu dua menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS), tiga (Darjah Kebesaran Dato’ Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (SSIS)), 16 (Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS)) dan 17 (Darjah Kebesaran Dato’ – Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS)).
“Seramai 59 individu lain menerima darjah dan bintang kebesaran tidak membawa gelaran, iaitu seorang menerima Bintang Kebesaran Ahli Kegemilangan Sukan Selangor (AKS) dan masing-masing 10 dikurniakan Setia Mahkota Selangor (SMS) serta Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (SIS).
“Ahli Mahkota Selangor (AMS) pula dikurniakan kepada 15 individu, Ahli – Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS) juga kepada 15 penerima, manakala seorang menerima Bintang Kecemerlangan Sukan Selangor (BKS) dan tujuh menerima Bintang Perkhidmatan Cemerlang (BPC),”katanya.
Ahmad Fadzli berkata pada tahun ini baginda mengurniakan Darjah Kerabat Selangor Yang Amat Dihormati iaitu Darjah Kerabat Kedua (DK II) kepada hanya seorang penerima.
Katanya, sebanyak 2,449 pencalonan telah diterima secara keseluruhan bermula 3 Jun hingga 1 Ogos lalu.
Tambah beliau, daripada jumlah tersebut 955 borang permohonan adalah bagi Darjah dan Bintang Kebesaran manakala 1,494 untuk pencalonan pingat-pingat negeri Selangor.
Jelas beliau, semua calon yang disenarai pendek telah melalui tiga tapisan utama iaitu Polis Diraja Malaysia (Keselamatan dan Jenayah), Jabatan Insolvensi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
-RI





